Ahmad Hasbi


Seremban: Koperal polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM7,000, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Zamri Ali, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Menurut pertuduhan, dia sebagai Koperal di Balai Polis Sikamat meminta suapan wang tunai RM4,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap lima pekerja lelaki itu bagi kesalahan Akta Racun 1952 dan Akta Imigresen 1959/63.

Kesalahan dilakukan di Balai Polis Sikamat, di sini, jam 6.30 petang, 23 Jun 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta yang sama.

TERTUDUH dibawa ke Mahkamah Seremban, hari ini, atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM7,000. FOTO Ahmad Hasbi
TERTUDUH dibawa ke Mahkamah Seremban, hari ini, atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM7,000. FOTO Ahmad Hasbi

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh memperoleh satu suapan, iaitu wang tunai RM3,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap lima pekerja bagi kesalahan di bawah Akta Racun 1952 dan Akta Imigresen 1959/63.

Kesalahan dilakukan di Balai Polis Sikamat, jam 9 malam 23 Jun 2019.

Justeru itu, tertuduh melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri sebulan sekali di Pejabat SPRM Seremban sehingga kes selesai dan menetapkan sebutan semula kes pada 24 Januari 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Disember 2021 @ 11:12 AM