Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Skuad Kebajikan di Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan bekerjasama dengan 18 badan bukan kerajaaan (NGO) untuk misi bantuan banjir 'Kito Saye Demo' ke Selangor, hari ini.

Pengarah JBPM Kelantan, Jainal @ Zainal Madasin berkata, misi bantuan itu bukan sahaja bagi meringankan beban mangsa yang terbabit dengan banjir, malah membantu tugasan pegawai dan anggota bomba di negeri berkenaan.

Katanya, antara NGO yang terbabit dalam misi itu seperti Thirdforce di bawah Yayasan Raja Shamri (YRS), Gabungan NGO hadapan Kelantan (GOHEK) dan Team Amal Rakyat Bantu Rakyat (TARBYAT).

"Seramai 45 sukarelawan termasuk 10 pegawai dan anggota JBPM Kelantan menyertai misi terbabit yang akan membantu bukan sahaja daripada segi tenaga kerja atau logistik tetapi juga menyampaikan sumbangan wang serta barangan keperluan asas.

"Misi 'Kito Saye Demo' juga sebagai tanda semangat berpasukan antara agensi keselamatan dengan NGO dalam sama-sama membantu masyarakat yang dalam kesusahan.

"Selain negeri Selangor, misi ini akan diteruskan lagi ke lokasi lain namun memerlukan perbincangan secara terperinci agar segala objektif dapat dicapai," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Program 'Kito Saye Demo' di perkarangan Ibu Pejabat JBPM Kelantan, di sini, hari ini.

Menurutnya, misi itu diharap dapat mengurangkan beban dan kesedihan mangsa banjir di Selangor yang mungkin pertama kali berhadapan dengan situasi banjir di luar jangkaan.

JAINAL (kiri ) menampal poster  misi bantuan banjir selepas melancarkan program. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
JAINAL (kiri ) menampal poster misi bantuan banjir selepas melancarkan program. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Dalam perkembangan sama, Jainal berkata, walaupun ada anggota yang ditugaskan untuk membantu mangsa di negeri lain, namun pihaknya tetap bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan jika berlaku banjir gelombang ketiga di Kelantan.

"Cuaca di negeri Kelantan agak baik sejak kebelakangan ini tetapi kita sedia maklum masih berada dalam tempon Monsun Timur Laut, justeru tidak boleh leka agar dapat menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang musim tengkujuh dengan baik.

"Saya berbangga dengan prestasi pegawai dan anggota JBPM Kelantan yang cekap dalam berhadapan dengan situasi banjir dan berharap agar ia kekal cemerlang pada masa akan datang," katanya.

Tambah Jainal, program 'Kito Saye Demo' itu juga sebagai balasan atas bantuan JBPM negeri lain termasuk Selangor yang turut turun padang membantu pihaknya ketika banjir 2014 lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 January 2022 @ 10:55 AM