KKM menggantung sementara penjualan tiket bas dan penerbangan bagi kedua-dua VTL antara Malaysia-Singapura berkuat kuasa esok sehingga 20 Januari depan. FOTO BERNAMA
KKM menggantung sementara penjualan tiket bas dan penerbangan bagi kedua-dua VTL antara Malaysia-Singapura berkuat kuasa esok sehingga 20 Januari depan. FOTO BERNAMA
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) menggantung sementara penjualan tiket bas dan penerbangan bagi kedua-dua Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia-Singapura berkuat kuasa esok sehingga 20 Januari depan.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata, langkah itu dibuat susulan Kementerian Kesihatan Singapura mengeluarkan kenyataan berhubung kewujudan satu kluster tempatan Covid-19 membabitkan tiga kes positif pada 20 Disember lalu.

"Hasil ujian lanjut yang dijalankan mendapati dua daripadanya menunjukkan kemungkinan varian Omicron, sementara keputusan bagi lain-lain kes masih lagi belum selesai.

"Ketiga-tiga kes ini tidak mempunyai sebarang sejarah perjalanan ke luar negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, bagi pengembara yang sudah memiliki tiket perjalanan bagi VTL darat dan udara serta memenuhi syarat yang ditetapkan, mereka boleh meneruskan perjalanan di bawah inisiatif VTL itu.

"Penjualan tiket bas dan penerbangan bagi kedua-dua insiatif VTL ini akan dibuka semula bermula 21 Januari depan selepas penilaian risiko dibuat berdasarkan situasi Covid-19 semasa di kedua-dua negara.

"Bagaimanapun, kuota tiket yang dijual akan dikurangkan daripada kuota sedia ada," katanya.

Menurutnya, maklumat lanjut berhubung penggantungan sementara inisiatif VTL boleh dirujuk kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia (VTL Udara) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (VTL Darat).

"KKM ingin menyarankan semua pengembara supaya bertanggungjawab dan sentiasa mematuhi arahan serta SOP yang telah ditetapkan.

"Lakukan ujian pengesan Covid-19 kendiri secara berkala bagi mengetahui status risiko diri sendiri dan seterusnya mampu mengurangkan risiko jangkitan kepada individu lain," katanya.

Pada 29 November lalu, Malaysia dan Singapura bersetuju untuk memulakan inisiatif VTL melalui udara dan darat tetapi terhad kepada pengembara yang menerima dos lengkap vaksin Covid-19.

Melalui kemudahan itu, pengembara tidak perlu menjalani tempoh kuarantin wajib apabila tiba di destinasi, tetapi masih tertakluk kepada keperluan untuk menjalani ujian pengesanan Covid-19 sebelum berlepas dan semasa ketibaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 3:25 PM