Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. FOTO BERNAMA
Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. FOTO BERNAMA
Oleh Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Malaysia dan Singapura sedang menilai risiko semasa Covid-19, sebelum memutuskan sama ada meneruskan kuota asal skim Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) Darat dan Udara atau mengurangkan kepada 50 peratus.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, penangguhan penjualan tiket VTL bermula 22 Disember hingga 20 Januari ini adalah disebabkan kebimbangan ancaman varian Omicron.

Katanya, Malaysia dan Singapura kini sedang menilai keadaan semasa sama ada untuk meneruskan VTL Darat dan Udara dengan kuota asal iaitu 1,440 bagi kedua-dua laluan atau mengurangkannya sehingga 50 peratus kedua-dua laluan.

"Varian Omicron menjadi kebimbangan utama Malaysia dan Singapura ketika ini. Ikut perbincangan asal, pada 21 Januari nanti Malaysia dan Singapura akan kurangkan kuota VTL sebanyak 50 peratus, seperti yang dipersetujui pada bulan lalu.

"Namun keputusan akhir nanti kita akan maklumkan semula menjelang 20 Januari nanti," katanya kepada pemberita selepas acara meraikan pencapaian Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di sini, hari ini.

Skim VTL Darat dan Udara Malaysia-Singapura mula dilaksanakan pada 29 November lalu dengan kuota 1,440 individu pada minggu pertama.

VTL darat membabitkan Stesen Bas Queen Street, Singapura ke Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral, Johor Bahru; manakala VTL udara membabitkan Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pada 22 Disember lalu, keputusan sama ada inisiatif VTL udara antara Malaysia dan Singapura disambung semula atau sebaliknya hanya akan dibuat dalam tempoh 48 jam sebelum ia dijadualkan berlangsung semula pada 21 Januari ini.

Ka Siong dilaporkan berkata, jika disambung semula pada tarikh itu, jumlah jualan tiket berkemungkinan dikurangkan sehingga 50 peratus daripada jumlah sedia ada.

Dalam pada itu Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, setakat ini, 37,783 individu sudah menggunakan skim VTL Udara sejak dilancarkan 29 November hingga 21 Disember lalu.

"Malaysia berharap VTL dapat diteruskan namun dengan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat dan selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 January 2022 @ 3:28 PM