AIR banjir kini mula melimpah di atas jalan raya di kawasan Paya Garuk, laluan utama ke Taman Negara. FOTO Roselan Ab Malek
AIR banjir kini mula melimpah di atas jalan raya di kawasan Paya Garuk, laluan utama ke Taman Negara. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek


Jerantut: Gelombang kedua banjir akibat hujan berterusan kembali menenggelamkan beberapa kawasan rendah di daerah ini termasuk kawasan yang sudah dicuci akibat banjir sebelum ini.

Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, hujan berterusan selama empat hari bermula di Hulu Tembeling pada 31 Disember lalu menyebabkan air Sungai Pahang melimpah.

"Lebih menyedihkan, ada kawasan yang baru dicuci oleh sukarelawan pada minggu lalu seperti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Tawar dan kampung sekitarnya selepas berlaku banjir kali pertama pada 19 Disember lalu kembali dinaiki air.

"Pada masa ini, cuma jalan dari Jerantut ke Kuala Lipis ditutup kepada semua kenderaan kerana air naik di Kampung Sepial, manakala tempat lain masih boleh dilalui walaupun dipenuhi air," katanya.

Menurutnya, kawasan Paya Garuk yang menjadi hubungan utama ke Taman Negara masih boleh dilalui, pagi ini walaupun air melimpah di atas jalan dan dijangka ditutup petang ini kerana air semakin meningkat.

Katanya, setakat ini, kawasan di Felda Kota Gelanggi 1, 2, 3 dan 4, Kampung Sungai Siam, persimpangan Jengka 8 dan sekitarnya belum dinaiki air.

"Air Sungai Pahang dijangka semakin besar apabila air dari Sungai Tembeling dan Sungai Jelai turun dan bercantum di Sungai Pahang lalu menyebabkan kawasan di hilir termasuk di Temerloh dan Bera akan menerima kesan.

"Cuaca dan luruan angin Monsun Timur Laut membawa angin serta hujan berterusan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Timur Johor menyebabkan berlaku banjir.

"Kita berdoa agar keadaan kembali pulih dan banjir tidak berlarutan, penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir diharapkan dapat mengambil langkah berjaga-jaga dan mepatuhi arahan pihak berkuasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 4:28 PM