Rosman Shamsudin


Tanjung Malim: Polis dan agensi berkaitan dalam keadaan bersiap siaga menghadapi banjir ekoran hujan berterusan sejak Jumaat lalu sehingga hari ini di daerah Muallim.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, berdasarkan pemantauan pihaknya setakat ini, terdapat tujuh kawasan dikenal pasti terbabit dengan banjir.

Beliau berkata, ia adalah Kampung Kuala Slim, Kampung Balun, pekan Behrang Stesen, Jalan Behrang-Kampung Sungai Selidik, Jalan Sungai Lembing, Kampung Rasau dan di Kilometer (km) 89 Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur arah utara.

"Setakat ini, keadaan banjir masih terkawal dan belum ada penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

"Seramai 54 anggota dan pegawai polis ditugaskan membuat rondaan dan pemantauan di kawasan dilanda banjir," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pemantauan di kawasan terbabit dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 2:38 PM
Keadaan rumah penduduk yang dilanda banjir di Daerah Muallim. FOTO Ihsan PDRM.
Keadaan rumah penduduk yang dilanda banjir di Daerah Muallim. FOTO Ihsan PDRM.