GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuching: Calon PKR kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Saban mendakwa diserang individu ketika meninjau pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Spaoh, Betong, hari ini.

Ketika kejadian 11.08 pagi itu, Mikail Mathew Abdullah mendakwa diserang lelaki dikenali sebagai Polo yang sebelum itu mengarahkannya mengalihkan kereta sambil mengeluarkan kata-kata kesat.

"Melihat saya dimaki hamun dan tindakan agresif lelaki terbabit melakukan provokasi, orang ramai yang berada di lokasi cuba menenangkan individu berkenaan.

"Bagaimanapun, berlaku kejadian tolak menolak dan bertumbuk antara orang awam dengan individu terbabit.

"Apabila keadaan menjadi semakin tidak terkawal, saya meninggalkan lokasi berkenaan," katanya yang membuat laporan di Balai Polis Spaoh, hari ini.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

"Difahamkan kejadian itu membabitkan pertengkaran mulut apabila calon terbabit cuba meletak kenderaannya di laluan orang ramai sebelum ditegur orang awam di luar pusat mengundi terbabit.

"Setakat ini, kes ini belum diklasifikasikan lagi kerana Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong sedang menjalankan siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 4:59 PM