GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin

Ampang Jaya: Tindakan lelaki berlagak samseng dengan menumbuk dan mengugut bunuh seorang pengurus di sebuah stesen minyak, di sini mengundang padah apabila ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 34 tahun mengenai kejadian itu yang berlaku kira-kira 5 pagi 22 Julai lalu.

"Menurut mangsa, kereta Perodua Myvi dipandunya diekori suspek yang memandu pacuan roda Ford Ranger sehingga ke stesen minyak terbabit.

"Suspek kemudian terus menumbuk mangsa dan mengugut mahu membunuhnya sekiranya lelaki terbabit menjerit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, kejadian itu mengakibatkan mangsa mengalami kesakitan pada pipi kiri dan dirawat di Hospital Ampang.

"Susulan laporan, kami menahan seorang lelaki berusia 36 tahun pada 8.30 malam tadi dan merampas Ford Ranger yang digunakan dalam kejadian terbabit.

"Siasatan awal dilakukan mendapati punca kejadian itu dipercayai kerana suspek menuduh mangsa mengeluarkan kata-kata kesat. Namun, punca sebenar masih dalam siasatan," katanya.

Beliau berkata, semakan dilakukan mendapati suspek mempunyai 11 rekod jenayah, namun bukan individu yang dikehendaki.

"Reman terhadapnya akan dibuat hari ini. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan kecederaan serta ugutan jenayah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2022 @ 12:46 PM