MOHD Helmi tidak pernah berjauhan dengan ibunya sejak 27 tahun lalu. FOTO ASWADI ALIAS
MOHD Helmi tidak pernah berjauhan dengan ibunya sejak 27 tahun lalu. FOTO ASWADI ALIAS
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: "Kami tidak pernah berpisah, tetapi kini saya perlu biasakan hidup sendiri kerana emak sudah pergi dan tidak akan kembali," luah pesakit tibi, Mohd Helmi Abdullah.

Mohd Helmi, 27, adalah anak angkat kepada Rohani Mohd Lazim yang meninggal dunia akibat Covid-19 pada 21 Ogos lalu.

Sejak ketiadaan Rohani, Mohd Helmi tinggal sendiri di rumah sewanya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Ampang di sini, dan tiada pilihan melainkan berdikari menguruskan diri serta menjaga kesihatannya selepas disahkan menghidap tibi sejak Ogos tahun lalu.

"Emak yang jaga sejak kecil daripada dia sihat hingga kaki kirinya dipotong akibat diabetes.

"Kira-kira 27 tahun saya hidup dengannya (emak), tidak pernah berjauhan.

"Bagaimanapun, emak dijangkiti Covid-19 dan kemudian ditahan di wad Hospital Ampang sebelum meninggal dunia pada hari keempat selepas menerima rawatan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Mohd Helmi, paling menyedihkannya adalah apabila tidak dapat mengurus, mengebumikan dan melihat wajah ibu angkatnya itu buat kali terakhir.

Mohd Helmi berkata, ini kerana dia perlu menjalani kuarantin wajib di rumah selepas menjadi kontak rapat.

"Jika ada peluang, sudah tentu saya mahu uruskan sendiri jenazah emak, tetapi terpaksa akur dengan arahan menjalani kuarantin wajib.

"Jujurnya memang sedih kerana banyak pengorbanan emak, tetapi saya tidak dapat berada di sisinya ketika akhir hayat hingga jenazahnya disemadikan.

"Apa-apa pun, saya reda dan berdoa roh emak ditempatkan dalam kalangan orang beriman," katanya.

Mohd Helmi berkata, buat masa ini, dia belum bekerja dan berharap diberi peluang kerja yang bersesuaian.

"Saya pernah bekerja sebagai penjaga stor di sebuah pasar raya mini, tetapi berhenti kira-kira lima tahun lalu bagi menguruskannya emak ketika itu.

"Ketika emak masih ada, kami hidup dengan elaun bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 dan RM350 oleh Baitulmal.

"Kedua-dua bantuan itu sudah dihentikan jadi saya perlu cari kerja bagi menyara diri dan membayar sewa rumah sebanyak RM124.

"Cuma, saya tidak boleh lakukan pekerjaan berat memandangkan badan cepat penat disebabkan masalah kesihatan malah diri saya kini ibarat hidup dengan satu paru-paru saja," katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menghubungi Mohd Helmi di talian 011-39873874.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 6:30 AM