Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Tindakan seorang lelaki merentap cermin Perodua Axia isterinya sehingga pecah dan tercabut selepas mengugut untuk merosakkan kereta mangsa mengundang padah apabila dia ditahan polis.

Perbuatan lelaki itu sempat dirakam isterinya yang berusia 24 tahun menggunakan telefon bimbitnya sebelum membuat laporan polis.

Video berdurasi 26 saat dalam kejadian yang berlaku Isnin lalu itu turut ditular di Facebook semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada 13 Disember lalu, jam 10.37 pagi.

Beliau berkata, ketika kejadian mangsa sedang memandu kereta bersama anak-anaknya di Lorong Panglima, Jalan Teluk Wanjah sebelum menyedari diekori suaminya yang berusia 30 tahun itu dengan menunggang motosikal Honda Wave.

"Suspek kemudian menahan kereta mangsa dan mengetuk cermin kereta bahagian hadapan sebelah penumpang beberapa kali menyuruh mangsa membuka tingkap kereta.

"Suspek memberi alasan memberikan wang kepada anak mereka namun isterinya hanya membuka sedikit tingkap menyebabkan suspek tiba-tiba merentap cermin kereta berkenaan sehingga pecah dan tercabut," katanya dalam kenyataan hari ini.

TANGKAP layar rakaman video yang tular. FOTO tular
TANGKAP layar rakaman video yang tular. FOTO tular

Ahmad Shukri berkata, serpihan kaca itu turut terkena kepada anak mangsa menyebabkan anak-anak mangsa terkejut dengan kejadian itu.

Beliau berkata, mangsa kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

"Berikutan itu, pegawai penyiasat bersama anggotanya kemudian pergi ke lokasi kejadian untuk melakukan siasatan serta merakam percakapan saksi kejadian.

"Hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati kawasan kejadian adalah di tepi jalan berhampiran kawasan rumah mangsa," katanya.

Ahmad Shukri berkata, hasil pemeriksaan mendapati kawasan itu tidak dilengkapi kamera rakaman litar tertutup (CCTV) namun mangsa sempat merakam kejadian itu menggunakan telefon bimbitnya sendiri.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427/506 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dilakukan.

"Suspek ditahan pada hari sama sejurus selepas kejadian dan direman empat hari bermula semalam sehingga 17 Disember ini untuk membantu siasatan.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati, lelaki itu negatif dadah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Disember 2021 @ 11:30 AM