TENGKU Zafrul. FOTO Arkib NSTP.
TENGKU Zafrul. FOTO Arkib NSTP.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: "Kalau ada yang menyamar sebagai Menteri Kewangan, menjanjikan cinta, tolonglah tolak mentah-mentah," kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Pesanan itu dititipkan Tengku Zafrul susulan satu kes penipuan di Pahang yang dikaitkan dengan 'Menteri Kewangan'.

Tengku Zafrul berkata, beliau terkejut apabila membaca berita seorang wanita terpedaya dengan janji manis individu yang mengaku Menteri Kewangan sehingga menyerahkan wang sebanyak RM4,200.

Menurutnya, masyarakat perlu lebih berhati-hati jika didatangi individu yang mencurigakan serta menawarkan pelbagai janji manis.

"Semak dengan pihak berkuasa kalau ada perkara yang mencurigakan dan jangan mudah percaya dengan janji manis orang yang tidak dikenali.

"Hati saya sudah berpunya dan saya tidak berminat nak cari nombor dua (isteri kedua)," katanya dalam hantaran di FB hari ini.

Portal Harian Metro semalam melaporkan seorang guru tadika mendakwa kerugian RM4,200 selepas berkenalan dengan seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai 'menteri' menerusi laman FB, awal bulan ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof dilapor berkata, mangsa wanita berusia 59 tahun itu mendakwa ditawarkan wang tunai RM1 juta dan kereta mewah Rolls-Royce sekiranya bersetuju menjadi isteri 'menteri' berkenaan.

Berita berkaitan

Guru tadika terperdaya tawaran jadi isteri 'menteri'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Disember 2021 @ 9:18 PM