Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk menjelaskan saman melalui program pengurangan 80 peratus dan had minima RM30 Aspirasi Keluarga Malaysia di IPD Kota Setar. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk menjelaskan saman melalui program pengurangan 80 peratus dan had minima RM30 Aspirasi Keluarga Malaysia di IPD Kota Setar. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Polis Kedah memperolehi kutipan lebih RM5 juta bayaran saman melalui kempen pengurangan 80 peratus Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) yang bermula sejak Khamis lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, nilai kutipan itu membabitkan jumlah saman sebanyak 106,571 yang berjaya dilangsaikan bermula 9 Disember sehingga semalam.

Beliau berkata, orang ramai masih boleh membayar saman untuk menikmati diskaun yang akan berakhir hari ini.

"Jumlah keseluruhan saman trafik yang dikutip setakat ini sebanyak RM5,281,780 sejak Khamis hingga hari ini

"Orang ramai boleh membuat bayaran di kaunter Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

"Bagaimanapun, mereka diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Pengurangan kompaun 80 peratus dengan had minima RM30 itu tidak termasuk bagi kesalahan kemalangan, memotong secara berbahaya, menggunakan lorong kecemasan, tidak patuh isyarat lampu merah dan memotong di garisan berkembar.

Kesalahan yang dikategorikan tidak boleh kompaun (NC), berstatus berkaitan kenderaan berat dan pengubah suaian ekzos kenderaan turut ditawarkan pengurangan.

Sementara itu, tinjauan di kaunter BSPT IPD Kota Setar hari ini mendapati orang ramai tidak melepaskan peluang untuk beratur di perkarangan balai bermula 8 pagi untuk membuat pembayaran.

Suri rumah, Nor Syazwani Ahmad, 27, berkata dia mempunyai saman berjumlah RM1,600, tetapi menjelaskan bayaran RM320 selepas diberikan diskaun.

"Ia sangat menguntungkan serta dapat meringankan beban," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 1:39 PM