HARIMAU kumbang memiliki sifat pendendam ‘luar biasa.’ FOTO Arkib NSTP
HARIMAU kumbang memiliki sifat pendendam ‘luar biasa.’ FOTO Arkib NSTP
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Putrajaya: "Ramai tidak tahu, harimau kumbang memiliki sifat pendendam 'luar biasa.' Itu bahayanya spesies Panthera Pardus ini berbanding pemangsa lain," ujar Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.

Beliau mengulas kejadian seekor harimau kumbang dewasa yang menyerang remaja Orang Asli di Kampung Kelatap dekat Pos Pewor, Lasah, Sungai Siput, Perak pada Rabu lalu.

Kejadian itu menyebabkan kepala mangsa terkoyak dan cedera parah akibat dicakar harimau dianggarkan berusia tidak kurang 10 tahun itu.

Kadir berkata, berdasarkan pengalamannya, harimau kumbang tidak teragak-agak menyerang manusia terutama ketika terkejut atau cedera.

"Biasanya ada tiga faktor utama harimau menyerang manusia iaitu kerana faktor mahu melindungi anaknya, usia tua selain kecederaan dialami akibat dijerat.

"Dalam kes terbaru ini, harimau kumbang berkenaan terlebih dahulu cedera pada kakinya akibat terkena jerat dawai dipasang pemburu haram di lokasi kejadian.

"Kecederaan dialami itu menyebabkan harimau kumbang itu 'sakit hati' dan berdendam. Tidak dapat dipastikan apa sebenarnya yang berlaku namun remaja Orang Asli itu bernasib baik masih hidup walaupun selepas bergelut dengan harimau kumbang berkenaan," katanya kepada Harian Metro.

KAKI harimau kumbang yang cedera terkena jerat pemburu.
KAKI harimau kumbang yang cedera terkena jerat pemburu.

Beliau berkata, anggota Perhilitan Perak yang menjejaki mamalia itu kelmarin, tidak mempunyai pilihan dan terpaksa menembak mati harimau kumbang berkenaan yang cuba menyerang mereka.

"Kami terpaksa menembaknya dan itu adalah keputusan terakhir terpaksa diambil bagi mempertahankan diri. Ia dilakukan bagi melindungi nyawa petugas mengikut batas undang-undang sedia ada.

"Bukan mudah berdepan harimau kumbang dewasa yang sedang 'naik minyak.' Harimau kumbang memiliki kuku yang amat tajam dan mampu merobek muka dan mematahkan rahang manusia jika dicakarnya," katanya.

SAIZ tapak kaki harimau kumbang yang mati ditembak.
SAIZ tapak kaki harimau kumbang yang mati ditembak.

Beliau berkata, penelitian terhadap bangkai harimau kumbang mendapati banyak kesan tetakan dipercayai menggunakan parang pada kepala serta paha haiwan itu yang dipercayai ketika bergelut dengan mangsa kelmarin.

Menurutnya, turut ditemui pada bangkai haiwan itu ialah jerat dawai kabel pada kaki kanan belakangnya yang cedera dan ia dipercayai penyebab harimau itu menjadi agresif dan menyerang manusia.

Kadir berkata, dalam kes berkenaan, manusia adalah punca utama terhadap perlakuan ganas harimau kumbang yang 'mengamuk' akibat cedera dijerat.

"Dalam keadaan biasa, harimau kumbang atau harimau belang akan beredar jika menyedari kehadiran manusia. Namun dendam akibat luka dijerat menyebabkan tindak tanduknya sukar dijangka," katanya.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 7:01 AM