Laporan portal Harian Metro sebelum ini.
Laporan portal Harian Metro sebelum ini.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Polis sudah memanggil semua pelajar yang terbabit dalam kejadian buli secara kekerasan atau 'ragging' yang didakwa berlaku di sebuah sekolah di Kuala Kangsar seperti video tular di media sosial.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, selain itu pemilik akaun media sosial yang tularkan video berkenaan turut dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, siasatan awal yang dilakukan polis mendapati kejadian buli terbabit berlaku pada awal pagi semalam iaitu antara 1 hingga 2 pagi membabitkan mangsa dengan tujuh remaja lain yang kesemuanya adalah pelajar tingkatan satu berusia 13 tahun.

Katanya, pihaknya juga mengesahkan ada menerima satu laporan berkaitan kes itu daripada pengetua sekolah terbabit kira-kira 1 tengah hari ini berikutan video insiden berkenaan sehingga mendapat perhatian meluas dari warganet.

"(Kerana) polis mengesan satu rakaman video tular berkaitan pergaduhan membabitkan pelajar yang dikenal pasti berlaku di sebuah sekolah berasrama penuh dalam daerah Kuala Kangsar, hari ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, kesemua pihak berkenaan dipanggil memberi keterangan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menurutnya lagi, susulan itu polis menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran masyarakat selain dibimbangi dapat mengganggu proses siasatan.

"Masyarakat juga dinasihatkan untuk tidak sesekali tularkan maklumat tidak sahih kepada umum serta disarankan membuat sebarang laporan dan aduan di balai polis berhampiran, menghubungi jabatan berkaitan, atau mengikut undang-undang yang diwartakan," katanya.

Berita berkaitan

Polis siasat kes buli di asrama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Disember 2021 @ 5:50 PM