BELAKANG badan mangsa berbirat dipercayai akibat dilibas paip getah. (Gambar kanan) Paip getah dipercayai digunakan suspek untuk memukul mangsa. FOTO ihsan polis
BELAKANG badan mangsa berbirat dipercayai akibat dilibas paip getah. (Gambar kanan) Paip getah dipercayai digunakan suspek untuk memukul mangsa. FOTO ihsan polis
Hassan Omar


Alor Gajah: Budak lelaki berusia sembilan tahun diselamatkan polis daripada terus menjadi mangsa dera bapa angkat yang dipercayai membelasahnya dengan menggunakan paip getah.

Mangsa yang tidak bersekolah itu dipercayai sering menjadi mangsa belasahan lelaki berusia 34 tahun hingga menyebabkan anggota komuniti Taman Seruling Jaya, Masjid Tanah, dekat sini, terpaksa melaporkannya kepada polis.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, dalam kejadian jam 6 petang tadi, polis menerima panggilan daripada anggota komuniti taman yang mendakwa mangsa dipukul bapa angkatnya.

"Sepasukan pegawai dan anggota polis dari Balai Polis Masjid Tanah bergegas ke sebuah rumah di taman berkenaan dan berjaya menyelamatkan mangsa daripada terus didera.

"Mangsa tinggal bersama suspek sejak dua tahun lalu manakala ibu kandungnya tinggal di Cheras, Kuala Lumpur dan bapa kandungnya tidak dapat dikesan.

"Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai sering dipukul suspek yang menghuni rumah berkenaan bersama-sama anggota keluarganya yang lain," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan polis mendapati ada kesan berbirat pada belakang tubuh mangsa, dipercayai akibat dibelasah dengan paip getah.

Menurutnya, mangsa mendakwa sering dipukul suspek yang bekerja sendiri tetapi takut untuk memberitahu kepada ibu kandung atau orang lain.

"Polis merampas paip getah dan membawa mangsa ke Hospital Alor Gajah sebelum dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.

Suspek ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah sebelum perintah menahan reman dipohon bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menyebabkan kecederaan dan Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak.

Arshad memuji keprihatinan anggota komuniti di taman berkenaan terhadap nasib malang mangsa yang dipercayai menjadi mangsa amarah bapa angkat yang panas baran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2020 @ 9:48 PM