Mohd Amin Jalil


Seremban: Sebanyak 807 aduan diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan sejak awal Januari lalu hingga semalam.

Daripada jumlah itu, 410 aduan berkaitan penipuan transaksi dalam talian yang mencatatkan kes aduan tertinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Alam Sekitar, Kesihatan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, aduan lain termasuk perkhidmatan mengelirukan dan harga barangan sebanyak 295 aduan.

Beliau berkata, selain itu aduan berkaitan bengkel motosikal dan perkhidmatan iklan mengelirukan sebanyak 78 kes.

"Terdapat 24 aduan membabitkan kenaikan harga makanan di kedai makan dan restoran.

"Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini yang mengehadkan pergerakan orang ramai untuk membeli-belah secara fizikal m emperlihatkan jual beli dalam talian menjadi pilihan, sekali gus meningkatkan jumlah aduan diterima berkaitan perkara itu," katanya.

S Veerapan (tiga dari kanan) memberi penerangan kepada pengunjung semasa mengedar risalah harga terbaharu barangan kawalan ketika mengadakan walkabout Pemantauan Harga Barangan Sempena Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia di Pasaraya Econsave Forest Height, hari ini. FOTO BERNAMA
S Veerapan (tiga dari kanan) memberi penerangan kepada pengunjung semasa mengedar risalah harga terbaharu barangan kawalan ketika mengadakan walkabout Pemantauan Harga Barangan Sempena Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia di Pasaraya Econsave Forest Height, hari ini. FOTO BERNAMA

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Pelaksanaan Skim Harga Kawalan Maksimum Keluarga Malaysia, di Pasaraya Econsave Senawang, di sini, hari ini.

Skim berkenaan berkuatkuasa antara 7 hingga 31 Disember ini.

Veerapan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Repah berkata, bagi tempoh berkenaan sebanyak RM1.3 juta nilai denda dikeluarkan manakala nilai rampasan pelbagai barangan berjumlah RM933,154.

Dalam pada itu, beliau berkata KPDNHEP melantik 108 anggota penguat kuasa dalam usaha meningkatkan keberadaan di lokasi terpilih bagi mewujudkan ruang perniagaan selamat.

Katanya, penguat kuasa kementerian terus komited memastikan setiap aduan disiasat dan diambil tindakan sebaik mungkin bagi melindungi hak pengguna.

"Justeru, peniaga dinasihatkan supaya mematuhi arahan dikenakan dan mengamalkan sikap beretika.

"Skim ini bermatlamat menstabilkan harga barangan keperluan harian akan berjaya sekiranya semua pihak bertanggungjawab dan memainkan peranan masing-masing," katanya.

Orang ramai boleh membuat aduan menerusi portal e-aduan KPDNHEP; Call Centre 1-800-886-800; e-mel kepada [email protected]; Ez ADU KPDNHEP; Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245 atau WhatsApp kepada 019-2794317.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 4:17 PM