Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Aduan berkaitan urusan pembelian dalam talian paling tinggi diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di negeri ini sepanjang tahun ini.

Pengarah KPDNHEP Kelantan, Adnan Abd Rahman berkata, pihaknya menerima 829 aduan dengan 212 aduan berkaitan pembelian dalam talian membabitkan isu penghantaran lewat, silap barangan dan penipuan.

Menurutnya, pihaknya kemudian merujuk aduan terbabit kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) untuk tindakan lanjut.

"Jika bersabit dengan barangan tidak sampai atau tersilap pesanan, lazimnya pengadu akan mendapat balik barangan itu sekiranya bukti dikemukakan mencukupi," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2020, di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Timbalan Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan negeri, Saiful Adli Abu Bakar.

Dalam perkembangan lain, Adnan berkata, pihaknya turut mengambil tindakan terhadap 786 kes dengan nilai sitaan RM3.43 juta.

Saiful Abu Bakar (tiga dari kiri) diiringi Adnan Abd Rahman (dua kiri) menunjukkan barangan keperluan  yang dikawal sempena Krismas Program Walkabout Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2020 Negeri Kelantan di Pasaraya Pantai Timur Hypermarket Sdn Bhd, Pengkalan Chepa. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2020 @ 6:12 PM