CHERISHE Ng Phuay Hui 24, dalam Pilihan Raya Ke-12 Sarawak yang mewakili Parti PKR di N 5 Batu Lintang. FOTO Nadim Bokhari
CHERISHE Ng Phuay Hui 24, dalam Pilihan Raya Ke-12 Sarawak yang mewakili Parti PKR di N 5 Batu Lintang. FOTO Nadim Bokhari
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuching: Calon termuda Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, Cherishe Ng Phuay Hui, 24, menolak tanggapan bahawa wakil rakyat muda tidak mampu membantu masyarakat.

Sebaliknya, Cherishe mempunyai perancangan untuk menyelesaikan masalah banjir yang kerap melanda kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Lintang yang ditandingi atas tiket PKR itu.

"Isu ini bukan perkara baharu, tetapi sudah berlanjutan sejak puluhan tahun lalu dan sehingga kini ia masih belum diselesaikan menyebabkan penduduk terpaksa berdepan masalah banjir.

"Justeru, saya mahu memberi fokus kepada pembangunan termasuk sistem perparitan yang menjadi faktor mendorong masalah banjir berlaku," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mengakui dirinya kurang pengalaman dalam politik, Cherishe bagaimanapun tidak bimbang memikul tanggung jawab menjadi wakil rakyat sekiranya dipilih.

"Dunia politik bukan sesuatu yang asing bagi saya kerana sejak kecil didedahkan dengan hal politik kerana bapa, Dominique Ng Kim Ho, 60, sudah lama berkecimpung dalam bidang ini.

"Malah, beliau juga adalah wakil PKR yang pertama menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) apabila menang di kerusi DUN Padungan pada 2006," katanya.

Mengulas mengenai kempen pilihan raya yang dilakukannya, lulusan undang-undang itu berkata, dia aktif menggunakan media sosial berikutan kempen fizikal tidak dibenarkan di DUN Batu Lintang.

"Sejujurnya saya lebih suka mendekati rakyat secara fizikal bagi melihat sendiri masalah mereka kerana 'turun padang' adalah penting, namun terpaksa akur prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Setakat ini, saya melihat sambutan penduduk sangat positif dan berharap diberi peluang untuk berkhidmat, meskipun berdepan cabaran besar," katanya.

Cherishe berhadapan pertandingan lima penjuru membabitkan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Sih Hua Tong; Parti Sarawak Bersatu (PSB), See Chee How; Parti Bumi Kenyalang (PBK), Voon Lee Shian dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak, Leong Shaow Tung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 2:10 PM