ANGGOTA APAM dan Jabatan Kerja Raya sedang memotong pokok untuk mengeluarkan kenderaan yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Brinchang, Cameron Highlands malam tadi. FOTO IHSAN APM
ANGGOTA APAM dan Jabatan Kerja Raya sedang memotong pokok untuk mengeluarkan kenderaan yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Brinchang, Cameron Highlands malam tadi. FOTO IHSAN APM
Roselan Ab Malek
am@hmetro.com.my


Cameron Highlands: Dua kenderaan mengalami kerosakan akibat tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Sultan Abu Bakar, Brinchang, di sini, semalam.

Bagaimanapun, kejadian yang berlaku pada 11.30 malam berdekatan bengkel kenderaan tidak membabitkan kecederaan dan kerosakan premis.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Cameron Highlands, Md Hazli Hanifah Mohd Hanafi berkata, pihaknya menerima panggilan pada 12.50 tengah malam sebelum bergegas ke lokasi.

"Anggota APM terus melaksanakan operasi memotong pokok yang tumbang serta mengalihkan runtuhan bagi mengeluarkan kenderaan yang terperangkap di bawah runtuhan.

"Bagaimanapun, tiada mangsa di lokasi kerana kenderaan itu sedang dibaiki oleh bengkel berkenaan. Kes ini diserahkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut," katanya.

Katanya, operasi di tempat kejadian juga membabitkan pasukan bomba, polis dan Jabatan Kerja Raya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 12:16 PM