GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Empat sungai di Terengganu kini berada pada paras amaran manakala lima lagi berada pada paras waspada.

Menurut portal publicinfobanjir.water.gov.my,Sungai Chalok di Jambatan Chalok, Setiu yang sebelum ini melepasi paras bahaya dengan bacaan 9.77 meter (m) menunjukkan penurunan kepada 8.14 m sekali gus berada pada paras amaran.

Tiga lagi sungai yang melepasi paras amaran membabitkan dua sungai di Hulu Terengganu dan satu di Kuala Nerus.

Di Hulu Terengganu, Empangan Tembat yang berada pada paras 430.06 m melepasi paras amaran 430 m dan Sungai Telemong di Kuala Ping merekodkan bacaan 19.44 m melepasi paras amaran 18.70 m.

Satu lagi sungai yang melepasi paras amaran adalah Parit Utama di Padang Kemunting, Kuala Nerus mencatatkan bacaan 3.75 m melepasi paras amaran 3.60 m.

Selain itu, lima sungai iaitu tiga di Setiu serta masing-masing satu di Besut dan Marang juga masih melepasi paras waspada.

Di Setiu, Sungai Nerus di Kampung Bukit, Sungai Setiu di Kampung Besut dan Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri masing-masing berada pada paras 11.75 m, 16.70 m dan 7.81 m.

Dua lagi sungai yang melepasi paras waspada adalah Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut (33.66 m) dan Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan, Marang (2.12 m).

Ketika ini, keadaan hujan berterusan namun sesekali lebat melanda di kebanyakan kawasan di seluruh Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 6:40 PM