SEBUAH kenderaan meredah banjir selepas kawasan berkenaan dinaiki air ketika tinjauan di Kampung Kepah hari ini. FOTO Bernama
SEBUAH kenderaan meredah banjir selepas kawasan berkenaan dinaiki air ketika tinjauan di Kampung Kepah hari ini. FOTO Bernama
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Lima sungai di Terengganu direkodkan melepasi paras bahaya susulan hujan berterusan sejak semalam.

Selain itu, enam lagi sungai mencatatkan bacaan melepasi paras amaran manakala empat sungai merekodkan bacaan melepasi paras waspada.

Berdasarkan laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran,duasungai di Setiu iaitu Sungai Nerus di Kampung Langkap dan Sungai Chalok di Jambatan Chalok masing-masing mencatatkan bacaan21.72 meter (m) dan 8.60 m sekali gus melepasi paras bahaya.

Tiga lagi sungai yang melepasi paras bahaya adalah Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu (20.17 m), Sungai Dungun di Jambatan Jerangau, Dungun (13.55 m) dan Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman (18.91 m)

Sementara itu, dua sungai di Setiu iaitu Sungai Nerus di Kampung Bukit dengan bacaan 12.63 m dan Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri 8.66 m direkodkan melepasi paras amaran.

Sungai Peneh di Kampung Felda Mengkawang (F1) dan Sungai Peneh di Felda Mengkawang di Hulu Terengganu masing-masing dengan bacaan 37.12 m dan 37.04 m juga melepasi paras amaran.

Turut mencatatkan bacaan melepasi paras amaran adalah Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan, Marang (2.53 m) dan Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik, Kemaman (2.04 m).

Selain itu, empat lagi sungai yang merekodkan bacaan melepasi paras waspada adalah Sungai Besut di Kampung La, Besut (19.96 m); Sungai Setiu di Kampung Besut, Setiu (17 m); Sungai Tersat di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu (19.83 m) dan sungai di parit utama di Padang Kemunting, Kuala Nerus (3.36 m).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2023 @ 10:27 PM