Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis akan meningkatkan pemantauan terutama di kawasan tumpuan orang ramai susulan tular beberapa gambar yang menunjukkan berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) hujung minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pegawai dan anggota pasukan pematuhan sudah diarahkan membuat rondaan lebih kerap di beberapa lokasi tumpuan dalam daerah ini termasuk Tasik Titiwangsa dan Tasik Ampang Hilir.

"Memang sukar untuk memastikan mereka patuh SOP jadi kita buat pemantauan supaya pengunjung mematuhi SOP yang ditetapkan seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal kerana kita tidak mahu berlakunya penularan Covid-19.

"Malam ini pun kita akan adakan operasi pematuhan SOP di beberapa kawasan tumpuan kerana yakin orang ramai akan berkumpul memandangkan esok cuti umum," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelupusan Barang Kes Perjudian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di sini, hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan Majistret Mahkamah Jenayah Kuala Lumpur, Mohamad Fared Abdul Latif dan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kamaruzaman Elias.

Ditanya mengenai tindakan yang akan diambil polis jika ada individu gagal mematuhi SOP, Ashari berkata, polis masih menggunakan pendekatan memberi nasihat berbanding mengeluarkan kompaun kepada individu melakukan kesalahan ingkar SOP.

"Kita tak boleh halang mereka untuk beriadah dan faham keadaan ekonomi rakyat ketika ini. Jadi kita akan beri nasihat dahulu tapi jika masih ingkar, polis terpaksa keluarkan kompaun," katanya.

Berhubung majlis pelupusan itu, beliau berkata, sebanyak 1,578 barang kes membabitkan mesin komputer, komputer riba, telefon bimbit, kertas perjudian dan set mahjong yang dirampas sejak 2014 hingga 2020 bernilai RM45,000 dilupuskan.

Katanya, barangan berkenaan sudah mendapat perintah mahkamah untuk tindakan musnah.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti perjudian di daerah Wangsa Maju untuk menyalurkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 5:36 PM