ADNAN Mat
ADNAN Mat
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta Kementerian Pengangkutan untuk meneliti semula peruntukan disalurkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, ia berikutan JPJ sentiasa menerima peruntukan yang terhad walaupun agensi berkenaan menjadi penyumbang kutipan hasil ketiga tertinggi kepada negara.

Katanya, perkara itu perlu diberi perhatian oleh Kementerian Pengangkutan supaya kebajikan pegawai dan kakitangan JPJ seiring dengan cabaran dan tugas masa kini yang harus dipikul oleh mereka.

"Cuepacs mewakili warga kerja JPJ mengambil perhatian sepenuhnya teguran oleh Menteri Pengangkutan mengenai kesesakan yang berlaku di sistem perkhidmatan kaunter.

"Sudah tentu teguran itu akan diambil sebagai suatu perkara yang positif bagi meningkatkan lagi kualiti dan mutu perkhidmatan.

"Bagaimanapun, Cuepacs percaya penyampaian perkhidmatan JPJ adalah antara yang terbaik memandangkan ia adalah antara agensi yang diberikan penarafan lima bintang oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) atas kualiti dan produktiviti tinggi yang dihasilkan setiap tahun serta pelbagai inovasi dilaksanakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Adnan berkata, JPJ turut memohon kepada kerajaan untuk menaik taraf sistem perkhidmatan JPJ mengikut keperluan semasa dengan memberikan peruntukan yang mencukupi bagi mencapai sistem pendigitalan yang lengkap.

"Untuk makluman pada 2010 JPJ dijanjikan peruntukan sebanyak RM420 juta bagi membangunkan pendigitalan mySikap yang moden tetapi bajet itu dipotong pada saat akhir kepada RM282 juta sahaja.

"Banyak elemen sistem dirancangkan terpaksa digugurkan dan menjadikan aplikasi itu tidak lengkap tapi diteruskan sehingga kini. Dengan situasi pandemik yang melanda negara pada tahun lalu menyebabkan warga JPJ juga resah dengan kualiti sistem yang separuh lengkap ini dan sudah digunakan hampir 10 tahun," katanya.

Katanya, pejabat JPJ juga seharusnya dinaik taraf kerana sebahagiannya sudah terlalu lama dan daif.

"Ini menjadikan sistem kerja menjadi kurang kondusif. Contohnya JPJ Galeria (Putrajaya) yang sempit dan amat tidak sesuai permintaan perkhidmatan di pusat pentadbiran kerajaan itu sendiri.

"Begitu juga daripada segi kakitangan dan perjawatan pegawai JPJ yang begitu terhad sekitar 8,700 kakitangan untuk sebuah agensi yang menyumbang kutipan hasil ketiga tertinggi berbanding Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen yang mempunyai seramai 13,000 penjawat awam.

"Contohnya di JPJ Johor, jawatan Timbalan Pengarah juga belum diisi dan ia ternyata memberi bebanan kepada Pengarahnya yang perlu bekerja tanpa penolong yang membantu menguruskan pelbagai urusan.

"Cuepacs yakin jika perkara ini diberikan perhatian oleh menteri dan kerajaan, JPJ akan lebih cemerlang dengan produktiviti yang tinggi serta boleh mencapai hasil melebihi bilion ringgit serta penguatkuasaan yang mengurangkan kadar kematian di jalan raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 4:42 PM