Adnan Mat
Adnan Mat
Nazri Abu Bakar


Melaka: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyarankan kakitangan yang menolak vaksin tampil memberi penjelasan supaya tidak memberi implikasi negatif kepada masyarakat.

Presiden Cuepacs Adnan Mat berkata, pihaknya bertegas kerana penjawat awam pelaksana dasar kerajaan yang perlu dilaksanakan oleh mereka.

Beliau berkata, sepatutnya mereka perlu yang pertama menerima dasar diperkenalkan sekali gus sebagai contoh kepada umum kerana keengganan mereka menyebabkan pandangan negatif umum.

"Bagaimanapun, kami sedia maklum dengan cadangan untuk dibuat saringan berkala kepada penjawat awam yang menolak vaksinasi namun kami kurang gembira dengan perkara terbabit, kerana vaksin diberi percuma kepada mereka dan seluruh rakyat. Justeru kenapa perlu mengeluarkan kos bagi melakukan saringan terbabit .

"Ia berikutan langkah berkenaan membabitkan sejumlah wang yang boleh digunakan untuk keperluan lain dalam memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat," katanya ketika ditemui di Alor Gajah hari ini.

Menurutnya, beliau dimaklumkan 30,000 penjawat awam menolak termasuk mereka yang mengalami masalah kesihatan namun mereka perlu tampil memberi penjelasan supaya tidak memberi implikasi negatif kepada umum.

Sementara itu, beliau yakin belanjawan dibentangkan kerajaan pada Oktober ini dirangka melalui tinjauan pendapat pihak berkepentingan termasuk rakyat bagi memastikan tiada pihak terpinggir.

Sehubungan itu, Cuepacs berharap kerajaan memberi perhatian khusus kepada penjawat awam terutama menyediakan peruntukan bagi mewujudkan Sistem Saraan Malaysia yang baharu kepada kepada sektor perkhidmatan awam.

Adnan berkata, antara perlu diberi perhatian dalam Sistem Saraan Baharu yang bakal diwujudkan berkaitan skim gaji melangkaui pendapatan garis kemiskinan negara serta kenaikan gaji tahunan lebih bersesuaian mengikut peningkatan kos sara hidup semasa.

Keterangan gambar

Melaka: 8.9.2022. Cuepacs mahu penjawat awam tolak vaksin tampil beri penjelasan

Pix 1- Adnan Mat.FOTO NAZRI ABU BAKAR

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 4:51 PM