Video tular pertengkaran membabitkan seorang individu yang didakwa berlaku di kaunter JPJ
Video tular pertengkaran membabitkan seorang individu yang didakwa berlaku di kaunter JPJ
Hasbi Sidek

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan insiden pertengkaran membabitkan seorang individu memaki hamun pegawai bertugas kaunter bukan berlaku di premis milik jabatan itu.

JPJ dalam satu kenyataan berkata, rakaman insiden berdurasi 43 saat itu tular di media sosial dan aplikasi Whatsapp mendakwa berlaku pertengkaran selepas seorang pelanggan lelaki berang apabila dia disuruh pulang apabila tiba gilirannya walaupun sudah menunggu untuk berurusan selama empat jam.

“JPJ memandang serius sebuah klip video yang tular di media sosial dan Whatsapp sejak semalam itu, namun siasatan lanjut mendapati insiden tidak berlaku di premis atau pejabat JPJ seperti yang tularkan itu,” kata kenyataan itu.

Menurut, JPJ sentiasa mengingatkan warga kerjanya supaya sentiasa meningkatkan kualiti perkhidmatan yang menerapkan ciri-ciri kendiri selari dengan kehendak masa supaya memudahkan urusan rakyat sekali gus mengelak timbul masalah.

Dalam satu kenyataan di Twitter milik seorang lelaki, pelanggan berkenaan berang kerana sudah menunggu sejak jam 10 pagi hingga jam 2 petang, namun apabila tiba gilirannya, dia diminta datang kembali lain kali kerana kekurangan pekerja pada waktu itu.

Alasan yang diberi petugas di kaunter ialah ketika itu sampai waktu rehat dan tidak cukup kakitangan walaupun ketika kejadian kelihatan ada beberapa pegawai yang mundar-mandir seperti tanpa melakukan sebarang kerja.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 5:00 PM