Putrajaya: Kementerian Dalam Negeri (KDN) berjaya memberkas 729 pengawal keselamatan warga asing haram bagi tempoh antara 1 November hingga 31 Disember tahun lalu melalui 196 operasi bersepadu.

Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri Datuk Alwi Ibrahim berkata, sejak 13 Januari lalu, 18 pegawal keselamatan warga asing diberkas membabitkan tujuh operasi.

Katanya, selain tangkapan, pihaknya menggantung dan membatalkan lesen 45 syarikat kawalan keselamatan membabitkan pelbagai kesalahan mengikut Akta Agensi Persendirian 1971 bagi tempoh antara 2010 sehingga tahun lalu.

“Tahun lalu sahaja, kami mengeluarkan 143 surat tunjuk sebab kepada syarikat kawalan keselamatan didapati melanggar peraturan, selain membatalkan lesen 23 syarikat kawalan keselamatan di atas kesalahan menggunakan pengawal keselamatan warga asing haram,” katanya semalam.

Katanya, operasi bersepadu disertai KDN, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu mula diperkenalkan bermula 1 November 2013 yang diselaraskan di bawah sebuah ‘Task Force’.

Alwi berkata, sehingga kini, terdapat 161,307 pengawal keselamatan tempatan berdaftar dengan KDN dengan 13,349 pengawal keselamatan warganegara Nepal bekerja di Malaysia berdasarkan kepada Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang aktif serta dikeluarkan JIM.

Menurutnya, operasi penguatkuasaan bersepadu ini dijalankan berterusan bagi menangkap pengawal keselamatan warga asing haram selain memantau kesalahan dilakukan syarikat kawalan keselamatan seluruh negara.

“Antara kesalahan dikesan termasuk menggunakan pengawal keselamatan yang memegang kad pengenalan palsu, menggaji pengawal keselamatan warga asing haram, menggunakan pengawal keselamatan bersenjata yang tidak memiliki lesen memegang senjata api dan tidak melakukan tapisan keselamatan terhadap pengawal keselamatan warga tempatan.

“Ketika ini, pasukan operasi penguatkuasaan bersepadu diketuai KDN, JIM dan JPN melakukan operasi hampir setiap hari,” katanya.

Katanya, bermula 1 September tahun lalu, kementerian mewajibkan semua syarikat kawalan keselamatan untuk membuat pengesahan kad pengenalan dengan JPN bagi calon pengawal keselamatan dan mereka perlu hadir sendiri membuat pengesahan kad pengenalan secara biometrik mengemukakan permohonan tapisan keselamatan kepada KDN.

Alwi berkata, penetapan itu bertujuan memastikan semua pengawal keselamatan tempatan warganegara Malaysia dan pemilik kad pengenalan yang sah.

Dalam pada itu, katanya, kementerian juga akan terus meningkatkan penguatkuasaan terhadap penggunaan senjata api kepada semua syarikat agensi persendirian dan pengawal keselamatan.

“Pada masa yang sama, prosedur serta syarat untuk permohonan lesen senjata api juga diperketatkan termasuk mewajibkan pengawal keselamatan membuat pengesahan cap cari secara biometrik dan hadir sendiri di Ibu Pejabat Polis yang berkenaan.

“Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri dan Daerah juga akan membuat pemeriksaan secara berkala terhadap semua pengawal keselamatan dan syarikat kawalan keselamatan yang mempunyai lesen senjata api,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 January 2015 @ 8:00 AM