Mohd Hasbi Sidek


Kuala Lumpur: Seorang pengawal keselamatan warga asing tidak bernasib baik apabila ditahan pada hari pertama dia memulakan tugas selepas didapati tidak memiliki permit kerja sah di sebuah kondominium di Sri Petaling, di sini, semalam.

Dalam serbuan jam 11 pagi itu, lelaki warga Nepal berusia lingkungan 20 tahun itu mendakwa sudah memohon permit kerja sebagai pengawal keselamatan, namun masih belum siap.

Operasi yang dijalankan Penguat Kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan kerjasama Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu menahan 10 pengawal keselamatan warga asing dan seorang penyelia tempatan.

Difahamkan, warga tempatan berusia 26 tahun itu enggan memberikan kerjasama kepada penguat kuasa yang menjalankan tugas selain mempertikaikan tindakan menahan tiga pengawal keselamatan di bawah seliaannya.

Pegawai Penguat Kuasa Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam KDN Zaini Mat Zin berkata, operasi dijalankan di empat lokasi iaitu dua kondominium di Sri Petaling dan dua taman perumahan di Taman Putra Prima, Puchong, Selangor.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada tujuh warga Nepal, dua warga Pakistan dan seorang warga tempatan kerana melindungi pekerja asing. Semua yang ditahan berusia antara 20 dan 40 tahun.

“Seorang pengawal keselamatan warga Nepal memberikan alasan sudah memohon permit kerja, namun belum diluluskan. Bagaimanapun, dia ditahan kerana mengikut peraturan seseorang pekerja asing perlu menyelesaikan permohonan terlebih dulu sebelum dibenarkan bekerja,” katanya ketika ditemui dalam operasi berkenaan, semalam.

Beliau berkata, semua yang ditahan dibawa ke depoh tahanan Imigresen di Putrajaya mengikut Perkara 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas atau permit serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

“Lelaki warga tempatan itu pula ditahan mengikut Seksyen 56(1)(d) kerana memberi perlindungan kepada warga asing. Kami juga akan mengambil nama syarikat penyedia perkhidmatan kawalan keselamatan yang terbabit untuk tindakan susulan.

“Hanya pekerja dari Nepal saja dibenarkan menjadi pengawal keselamatan, namun mereka perlu memohon permit bahagian kawalan keselamatan. Syarikat yang menggajikan pekerja asing tanpa permit sah berdepan tindakan gantung atau lesen dibatalkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2016 @ 6:58 AM