Sekumpulan doktor yang sedang merawat pesakit Covid-19.  FOTO ARKIB NSTP
Sekumpulan doktor yang sedang merawat pesakit Covid-19. FOTO ARKIB NSTP
K. Mohana Priya


Kuala Lumpur: Sebanyak 15,941 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kini mencecah 4,183,359 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 21,186 kes sembuh menyumbang kepada sejumlah 3,941829 kes kumulatif atau 94.2 peratus daripada keseluruhan kes jangkitan yang direkodkan setakat ini.

Beliau berkata, sebanyak 15,773 daripada kes positif baharu dilaporkan semalam adalah penularan tempatan dengan 15,100 membabitkan warga negara dan 673 warga asing.

"Sebanyak 168 pesakit lagi adalah kes import membabitkan 161 rakyat Malaysia dan 7 warga asing.

"Seramai 275 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 168 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, daripada 15,941 kes harian yang dilaporkan semalam, seramai 7,474 pesakit atau 46.88 peratus dalam kategori 1; kategori 2 (8,359 kes atau 52.44 peratus); kategori 3 (50 kes atau 0.32 peratus); 26 kes dilaporkan dalam kategori 4 (0.16 peratus); dan kategori 5 sebanyak 32 kes (0.20 peratus).

"Daripada 108 kes Covid-19 kategori 3, 4, dan 5 yang dilaporkan semalam, sebanyak 26 kes (24.07 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; 45 kes (41.67 peratus) sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan 37 kes (34.26 peratus) sudah menerima dos penggalak.

"Sebanyak 57 kes (52.78 peratus) membabitkan pesakit berusia 60 tahun dan ke atas; 63 kes (58.33 peratus) mempunyai komorbid," katanya.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, KKM mengesan satu kluster baharu jangkitan Covid-19 semalam, menjadikan kini sebanyak 6,932 kluster dengan 6,725 kluster sudah ditamatkan manakala 207 masih aktif.

Selain itu, nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) negara terus menunjukkan penurunan apabila ia berada pada paras 0.88 setakat semalam.

Dr Noor Hisham berkata, Selangor mencatatkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.04, diikuti Perak pada 0.91 dan Melaka serta Sarawak pada 0.88.

Kuala Lumpur mencatatkan nilai Rt 0.87, Negeri Sembilan (0.82); Pulau Pinang (0.80); Putrajaya dan Pahang masing-masing (0.79); Labuan (0.78), Terengganu (0.77), Perlis (0.75), Johor serta Kedah masing-masing (0.74), Kelantan (0.68) dan Sabah (0.67).

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, penggunaan fasiliti kesihatan khusus bagi kes Covid-19 membabitkan Katil Kes Kritikal atau ICU di tiga negeri melebihi 50 peratus semalam, iaitu sebanyak (67 peratus) di Putrajaya; Selangor (55 peratus ), dan Kuala Lumpur (53 peratus).

Beliau berkata, dua negeri menunjukkan peratusan penggunaan Katil Bukan ICU melebihi 50 peratus iaitu Putrajaya (93 peratus); Selangor (66 peratus).

Katanya, bilangan pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan juga menunjukkan penurunan kepada 168 pesakit dengan peratusan penggunaan ventilator 19 peratus.

"Sebanyak 845 kes Covid-19 dimasukkan ke hospital dengan 366 kes (43.3 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 479 kes (56.7 peratus) adalah kategori 1 dan 2," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2022 @ 11:41 AM