BANYAK faktor yang mempengaruhi kenaikan harga barang antaranya kenaikan bahan mentah, lebihan permintaan daripada penawaran dan kenaikan kos pengangkutan.
BANYAK faktor yang mempengaruhi kenaikan harga barang antaranya kenaikan bahan mentah, lebihan permintaan daripada penawaran dan kenaikan kos pengangkutan.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Kerajaan perlu mengenal pasti alternatif kepada kebergantungan bahan mentah dan pasaran luar negara dengan memanfaatkan semaksimum mungkin potensi yang ada di dalam negara.

Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Anuar Shah Bali Mahomed berkata, ini berikutan kenaikan harga barang dilihat membebankan rakyat yang sedang dalam proses pemulihan kesan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, semakin tinggi kebergantungan Malaysia terhadap bahan mentah dan pasaran luar negara, maka semakin berisiko negara berhadapan dengan krisis keselamatan makanan pada masa akan datang, terutama waktu berlaku peningkatan mendadak atau keterbatasan pengeluaran bahan mentah terbabit.

"Kenaikan harga barang ini memberikan kesan signifikan kepada seluruh rakyat Malaysia terutama peniaga dan golongan B40.

"Selain jangan terlalu bergantung dengan sumber bahan mentah dari luar negara, pemantauan harga juga perlu dilaksanakan oleh kerajaan secara lebih meluas.

"Ia perlu dilaksanakan 24 jam sekurang-kurangnya sehingga Disember 2021 agar harga barang dapat dikawal dan mengelak daripada terjadinya manipulasi harga atau ada pihak tertentu yang ingin memperolehi keuntungan luar biasa dalam situasi semasa yang amat menekan rakyat Malaysia ketika ini.

"Situasi semasa semakin meruncing apabila berlaku kenaikan harga ayam dan telur yang memberikan tekanan kepada peniaga dan pengguna.

"Banyak faktor yang mempengaruhi kenaikan harga barang antaranya kenaikan bahan mentah, lebihan permintaan daripada penawaran dan kenaikan kos pengangkutan.

"Ini secara tidak langsung memberikan kesan kepada kenaikan harga barang dan perkara ini perlu diberi perhatian agar dapat dielak daripada berlakunya krisis keselamatan makanan," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, disebabkan berlakunya kenaikan harga barang dan menjejaskan rakyat Malaysia khususnya keluarga dalam kategori B40 maka dicadangkan kerajaan menyediakan makanan percuma di sekolah rendah dan menengah kepada anak-anak keluarga B40 disebabkan kumpulan ini mempunyai wang tunai yang terhad.

Beliau berkata, berkemungkinan berlakunya kenaikan harga tambang bas berdasarkan kepada situasi semasa, maka kerajaan boleh mempertimbangkan untuk memperkenalkan Bantuan Tambang Bas Sekolah kepada semua pelajar kumpulan B40.

"Ia adalah serampang dua mata iaitu membantu keluarga B40 yang mempunyai ramai tanggungan dan juga membantu pengusaha bas atau kenderaan sekolah untuk memperolehi pendapatan selepas berbulan-bulan tidak memperolehi pendapatan melalui tambang bas sekolah disebabkan oleh PKP," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 7:00 AM