Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Haslina Abdul Hamid ketika meninjau kawasan yang terjejas akibat fenomena kepala air di Yan. FOTO Ihsan MADA
Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Haslina Abdul Hamid ketika meninjau kawasan yang terjejas akibat fenomena kepala air di Yan. FOTO Ihsan MADA
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kerajaan memperuntukkan RM1.1 juta untuk membaik pulih 34 hektar kawasan sawah padi di Yan yang musnah akibat fenomena kepala air dari puncak Gunung Jerai, 18 Ogos lalu.

Ia membabitkan sawah padi di Kampung Titi Bakong dan Kampung Rendang Pasir apabila kesemua tanaman padi berusia antara 75 hingga 100 hari ditenggelami air sedalam 1.2 meter ketika bencana alam itu berlaku.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, peruntukkan berkenaan adalah sebahagian daripada keseluruhan peruntukan berjumlah RM75 juta yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika meninjau lokasi bencana pada Selasa lalu.

"Peruntukkan berjumlah RM495,000 akan digunakan bagi membaiki kerosakan infrastruktur termasuk jalan ladang, tali air konkrit, membaiki paip bekalan pengairan, mencuci dan menyenggara pam guna semula.

"Manakala RM555,000 pula adalah untuk kegunaan membaik pulih sawah yang membabitkan kerja mengeluarkan enapan di dalam bendang, pitaran tanah sawah, perataan tanah dan pemulihan kesuburan tanah.

"Selain itu, peruntukan sebanyak RM50,000 akan digunakan untuk bantuan pembatalan musim tanaman 2/2021 di bawah Skim Pengairan Lubok Boi dengan keluasan 15 hektar," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Haslina, berkata Mafi dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan dan Lembaga Pertubuhan Peladang juga sedang menggerakkan segala jentera dalam usaha untuk memulihkan dan memperbaiki kerosakan yang berlaku termasuk sistem pengairan yang terjejas.

Katanya, laporan keseluruhan kerosakan bencana khususnya sektor tanaman lain selain padi, termasuk ternakan dan perikanan di daerah Yan dan Kuala Muda dianggarkan bernilai RM286,000.

"Nilai kerosakan ini meliputi sektor tanaman dan industri tani dengan anggaran kerosakan sebanyak RM222,000, manakala sektor lain seperti ternakan haiwan dan ikan pula membabitkan nilai kerugian sebanyak RM64,000," katannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 5:34 PM