Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berpendirian Pilihan Raya Umum (PRU) masih belum sesuai diadakan dalam masa terdekat berdasarkan trend kemasukan ke hospital akibat Covid-19 makin meningkat.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, beliau sudah berbincang mengenai perkara ini dan pandangan KKM adalah PRU tidak sesuai diadakan buat masa ini.

Menurutnya, kes Covid-19 masih membimbangkan dengan kemasukan ke hospital semakin meningkat ditambah dengan kemunculan varian baharu.

"Jika diadakan PRU dalam masa terdekat ia sangat tidak bertanggungjawab. Sementara itu mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pula ada beberapa permintaan dikemukakan yang sedikit berbeza dengan PRN Melaka," katanya pada sidang media Covid-19 hari ini.

KHAIRY Jamaluddin. FOTO Arkib NSTP.
KHAIRY Jamaluddin. FOTO Arkib NSTP.

Khairy berkata, hujah mereka ada kawasan di Sarawak tidak mempunyai capaian Internet dan agak sukar untuk berkempen.

"Jadi KKM adakan beberapa siri perbincangan dan libat urus bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak di mana semalam pun saya ada sesi libat urus itu.

"Ada beberapa perkara yang perlu dipersetujui KKM di mana ia nanti akan disyorkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk dijadikan prosedur operasi standard (SOP) ketika PRN nanti," katanya.

Sebelum ini Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menyuarakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya mempertimbangkan PRU-15 diadakan dalam masa terdekat supaya mandat baharu dapat diserahkan semula kepada rakyat.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Umno dilaporkan berkata, pihaknya menyuarakan perkara itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebaik saja BN memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan mengambil kira sentimen rakyat ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 6:22 PM