BERNAMA

Kuala Lumpur: Pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang sepatutnya dibincang dan diputuskan hari ini, ditangguhkan ke sidang Parlimen akan datang.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, perkara itu diputuskan selepas perbincangan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, selain mengambil kira masalah bencana banjir yang melanda negara ketika ini.

"Menurut Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat 62, saya mencadangkan Rang Undang-Undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 dalam aturan urusan mesyuarat pada hari ini ditangguh bacaan kali kedua dan ketiga ke mesyuarat akan datang," katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Persidangan Dewan Rakyat yang sepatutnya berakhir Khamis lalu ditambah sehari pada hari ini bagi membolehkan Rang Undang-Undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 itu dibincang dan diputuskan.

Khairy berkata, terdahulu, KKM mengadakan sesi libat urus dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi Parlimen 8 pagi tadi, selaras dengan semangat Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) serta usaha transformasi Parlimen.

KHAIRY Jamaluddin. FOTO arkib NSTP
KHAIRY Jamaluddin. FOTO arkib NSTP

Katanya, beliau telah membentangkan perincian pindaan Akta 342 termasuk peraturan dan garis panduan yang diperlukan dalam pindaan berkenaan.

"Kita juga telah mendengar pandangan daripada kumpulan pakar yang memberi cadangan dan nasihat kepada jawatankuasa pilihan khas dan saya telah dimaklumkan oleh pengerusi jawatankuasa pilihan khas ini Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH- Bandar Kuching) bahawa jawatankuasa membuat keputusan sebulat suara supaya saya tangguhkan pindaan ini.

"Ini bukan disebabkan tidak disokong secara dasarnya, perkara-perkara substentif yang sebahagian besar telah pun dipersetujui cuma ada beberapa perkara yang masih perlu (perbincangan) sesi akan datang supaya dapat dipersetujui bersama," katanya.

Khairy berkata, sekiranya pindaan berkenaan diluluskan tanpa konsensus parti-parti politik, pelaksanaan pindaan itu akan berdepan masalah pematuhan rakyat kerana isu berbeza pandangan.

Mengikut rang undang-undang itu, individu yang melakukan kesalahan boleh dikompaun sehingga RM10,000 berbanding RM1,000 ketika ini, manakala kompaun sehingga maksimum RM1 juta bagi pertubuhan perbadanan.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun menangguhkan sidang Dewan Rakyat selama 15 minit susulan sesi libat urus mengenai pindaan Akta 342 yang belum berakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Disember 2021 @ 12:25 PM