GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Harga sayur-sayuran di bandar raya ini mula mencatatkan penurunan antara RM1.50 hingga RM5 setiap kilogram (kg), sejak semalam.

Peniaga pasar basah Taman Dahlia, Tampoi, di sini, Suwanto Baharuddin, 48, berkata pemborong sayuran mula menghantar sayuran pada harga lebih rendah berbanding sebelum ini sekali gus melegakan penjual runcit di pasar basah.

Katanya, pemborong mendakwa antara faktor menyebabkan harga sayuran mula turun berikutan cuaca yang lebih baik menyebabkan stok sayuran mempunyai sedikit lebihan berbanding sebelum ini yang menghadapi masalah kekurangan stok.

"Bunga kubis dan brokoli mencatat penurunan paling banyak iaitu RM5 sekilogram. Sebelum ini harga runcitnya adalah RM17.50 sekilo, namun sejak semalam ia dijual pada harga RM12.50 sekilogram.

"Harga cili hijau juga turun hingga RM4.50 sekilogram kepada RM12 hingga RM13, berbanding minggu lalu ia dijual pada harga antara RM16.50 hingga RM17 setiap kg.

"Cili merah juga turun RM2.50 sekilogram sejak semalam kepada RM16.50 berbanding RM19 sebelum ini. Begitu juga cili hijau turun RM3.50 kepada RM13 berbanding RM17, manakala cili padi pula turun RM3 kepada RM13 sekilogram berbanding RM16.

"Harga sayuran berdaun terutama sawi, bayam dan kangkung juga turun RM1.50 sekilogram kepada RM5.50 berbanding RM7, sebelum ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Minggu lalu, media melaporkan harga keperluan makanan terutama sayur-sayuran yang naik mendadak sejak bulan lalu menyebabkan peniaga pasar basah di bandar raya ini mengeluh dan mendakwa kehilangan sehingga 60 peratus pelanggan.

Tinjauan di pasar basah sekitar Tampoi dan Perling, di sini, mendapati suasana pasar basah yang sebelum ini penuh dan sesak setiap pagi, namun minggu lalu bertukar lenggang.

Sementara itu, Suwanto berharap supaya penurunan harga sayur terus kekal bagi mengelakkan pengguna menghentikan sementara pembelian sayuran di pasar basah.

"Ini kerana sebelum ini harga barangan segar terutama sayuran naik pada setiap minggu menyebabkan peniaga seperti saya risau, pengguna akan terus memboikot peniaga sayuran, sedangkan kami terima stok pada harga tinggi.

"Pemborong juga tidak dapat memberi jaminan harga sayuran akan kekal turun berikutan keadaan cuaca yang dijangka hujan lebat hujung bulan nanti di samping kekurangan tenaga buruh di ladang sayuran," katanya.

Dalam pada itu, peniaga kedai makan, Nisa Hussin, 47, berkata, walaupun harga sayuran mencatatkan penurunan, ia tetap masih mahal berbanding sebelum sektor ekonomi dibuka sepenuhnya.

"Bunga kubis contohnya, dulu hanya RM6 hingga RM7 sekilogram, walaupun harganya turun kepada RM12.50 sejak semalam, ia masih dikira tinggi. Namun tidaklah semahal bulan lalu yang dijual pada harga RM17.50.

"Peniaga serta pengguna sangat berharap harga bahan mentah akan terus turun apatah lagi kerajaan juga mengambil inisiatif mengadakan Jualan Keluarga Malaysia sejak hujung minggu lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Disember 2021 @ 4:19 PM