FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohd Roji Kawi
mdroji@bh.com.my


Kuching: Garis panduan pencegahan Covid-19 bagi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) hanya akan dikeluarkan apabila ia selesai diteliti beberapa pihak.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, ketika ini ia sedang dikemaskini oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

"Garis panduan pencegahan Covid-19 sepanjang proses PRN-12 itu akan dimaklumkan selepas ia dimuktamadkan nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan tarikh penting PRN-12 Sarawak, di sini, hari ini.

Selain itu katanya, SPR melaksanakan beberapa penambahbaikan pada PRN-12 Sarawak yang akan diadakan pada 18 Disember depan.

Ia termasuk memansuhkan syarat kelayakan pengundi pos luar negara yang dilaksanakan sebelum ini.

"Syarat yang dimansuhkan itu ialah bermastautin di luar negara kecuali di Wilayah Selatan Thailand seperti Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun selain Singapura, Brunei dan Kalimantan, Indonesia.

"Turut dimansuh ialah syarat pernah berada di Malaysia atau kembali ke Malaysia tidak kurang daripada 30 hari dalam tempoh lima tahun sebelum tarikh pembubaran DUN berkuatkuasa," katanya.

Katanya lagi, SPR turut menyediakan saluran khusus bagi pengundi berumur 60 tahun ke atas di setiap pusat mengundi.

"Tempoh masa pengundian turut dipanjangkan selama 30 minit bermula jam 7.30 pagi hingga 5 petang berbanding bermula jam 8 pagi hingga 5 petang sebelum ini.

"Bagi pengundi kalangan orang kurang upaya (OKU) pula disediakan di Saluran 1. Seramai 13,871 pengundi kalangan OKU dikenalpasti dan mereka berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.

Sementara itu katanya, seramai 82 Pegawai Pengurus Pilihan Raya dilantik bagi memastikan kelancaran proses PRN-12.

Beliau berkata, mereka akan dibantu seramai 249 Penolong Pegawai Pengurus.

"Bagi memantau semua aktiviti kempen sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR menubuhkan 155 Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR).

"Pasukan PP-KPR dianggotai oleh wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan dan wakil calon yang bertanding," katanya.

Menurutnya lagi, seramai 46,565 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRN-12 Sarawak di 1,866 pusat mengundi biasa yang mengandungi 3,555 tempat mengundi atau saluran dan 85 pusat mengundi awal yang mengandungi sebanyak 111 saluran.

"Keseluruhan pusat mengundi adalah sebanyak 1,951 dengan 3,666 tempat mengundi dan saluran," katanya sambil memaklumkan sebanyak RM150 juta diperuntukkan bagi mengendalikan PRN-12 Sarawak.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 1:42 PM