ABDUL Ghani ketika sidang media. FOTO Bernama
ABDUL Ghani ketika sidang media. FOTO Bernama
Mohd Roji Kawi


Kuching: Tempoh masa pengundian pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12), 18 Disember ini dipanjangkan 30 minit berbanding pilihan raya sebelum ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, ia antara beberapa penambahbaikan yang dilaksanakan pada PRN-12 Sarawak itu.

"Tempoh pengundian pada PRN-12 bermula pada 7.30 pagi hingga 5 petang berbanding bermula 8 pagi hingga 5 petang sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan tarikh penting PRN-12 Sarawak, selepas mesyuarat khas SPR, di sini, hari ini.

Abdul Ghani berkata, pihaknya turut mensasarkan 70 peratus daripada 1.2 juta pengundi akan keluar mengundi pada 18 Disember nanti.

"Justeru, SPR memohon kerjasama semua pihak termasuk media dan parti-parti politik agar turut mengambil langkah menyeru dan menggalakkan pengundi supaya keluar mengundi," katanya.

Menurutnya, antara penambahbaikan lain yang dilaksanakan ialah memansuhkan syarat kelayakan pengundi pos luar negara yang dilaksanakan sebelum ini.

"Syarat yang dimansuhkan itu ialah bermastautin di luar negara kecuali di Wilayah Selatan Thailand seperti Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun selain Singapura, Brunei dan Kalimantan, Indonesia.

"Turut dimansuh ialah syarat pernah berada di Malaysia atau kembali ke Malaysia tidak kurang daripada 30 hari dalam tempoh lima tahun sebelum tarikh pembubaran DUN berkuatkuasa," katanya.

Katanya lagi, SPR turut menyediakan saluran khusus bagi pengundi berumur 60 tahun ke atas di setiap pusat mengundi manakala bagi pengundi kalangan orang kurang upaya (OKU) pula disediakandi Saluran 1.

"Seramai 13,871 pengundi kalangan OKU dikenalpasti dan mereka berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.

Mengenai garis panduan pencegahan Covid-19 bagi PRN-12, Abdul Ghani berkata, ia hanya akan dikeluarkan apabila ia diteliti beberapa pihak.

Menurutnya, ketika ini garis panduan itu sedang dikemaskini oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

Sementara itu katanya, 82 Pegawai Pengurus Pilihan Raya dilantik bagi memastikan kelancaran proses PRN-12.

Beliau berkata, mereka akan dibantu 249 Penolong Pegawai Pengurus.

"Bagi memantau semua aktiviti kempen sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR menubuhkan 155 Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR).

"Pasukan PP-KPR dianggotai oleh wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan dan wakil calon yang bertanding," katanya.

Menurutnya lagi, 46,565 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRN-12 Sarawak di 1,866 pusat mengundi biasa yang mengandungi 3,555 tempat mengundi atau saluran dan 85 pusat mengundi awal yang mengandungi sebanyak 111 saluran.

"Keseluruhan pusat mengundi adalah sebanyak 1,951 dengan 3,666 tempat mengundi dan saluran," katanya sambil memaklumkan sebanyak RM150 juta diperuntukkan bagi mengendalikan PRN-12 Sarawak.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 2:19 PM