WAN Junaidi. FOTO Arkib NSTP
WAN Junaidi. FOTO Arkib NSTP
Mohd Roji Kawi


Kota Samarahan: Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Sarawak perlu diadakan sebaik tempoh Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak, berakhir Jun tahun depan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tiada siapa dapat menangguhkan proses demokrasi itu walaupun dengan alasan negara dilanda wabak kerana mengikut perlembagaan, Dun Sarawak akan terbubar secara automatik apabila tempoh berakhir.

Justeru katanya, kini terpulang kepada kebijaksanaan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg untuk menggunakan kuasa prerogatifnya mengikut Perlembagaan Persekutuan untuk menentukan bila PRN-12 perlu diadakan.

"Sekarang hanya ada tempoh kira-kira lapan bulan sahaja lagi sebelum penggal Dun Sarawak berakhir dan terbubar dengan sendirinya.

"Mahu tidak mahu, selepas terbubar dengan sendiri nanti, pilihan raya mesti diadakan dan hanya Ketua Menteri (Abang Johari) yang boleh menentukan bila masa sesuai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran Bantuan Awal Pengajian Untuk Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak di sini, hari ini.

Seramai 500 pelajar UiTM menerima bantuan bernilai RM500,000 itu yang disediakan oleh Yayasan Bank Rakyat.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, hanya Abang Johari yang boleh menasihatkan Yang di-Pertua Negeri untuk membubarkan Dun Sarawak.

"Apabila Yang di-Pertua Negeri bersetuju membubarkan Dun, barulah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula mengambil alih untuk menentukan tarikh penamaan calon dan hari pengundian dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran," katanya.

Ketika ditanya kemungkinan PRN-12 ditangguhkan jika berlaku darurat, Wan Junaidi berkata, ia bergantung kepada keputusan Perdana Menteri berdasarkan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan untuk menasihatkan Yang Dipertuan Agong untuk mengisytiharkannya.

"Tetapi saya percaya, darurat tidak perlu diisytiharkan sekarang dan pilihan raya tetap boleh dilaksanakan dengan SPR menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan menguatkuasakannya dengan teliti agar dipatuhi semua pihak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 6:10 PM