POLIS menyerbu dan membuat pemeriksaan di pusat hiburan di Klang dan menahan GRO. FOTO Faiz Anuar
POLIS menyerbu dan membuat pemeriksaan di pusat hiburan di Klang dan menahan GRO. FOTO Faiz Anuar
Muhaamad Hafis Nawawi dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Klang: Sediakan bilik karaoke dengan dilengkapi pentas bagi pelayan pelanggan (GRO) 'beraksi' bagi melayan pelanggan VIP. Itu modus operandi dilakukan salah sebuah pusat hiburan di daerah ini, malam tadi.

Sambil menyanyi dan mabuk, pelayan yang datang juga akan disediakan khidmat GRO dan bilik yang ditempah berdasarkan harga mengikut keluasan bilik iaitu antara RM888 hingga RM4,888.

Malah wartawan yang mengikuti operasi terbabit turut mendapati pusat hiburan terbabit turut dipasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan pergerakan mencurigakan.

Bagaimanapun kegiatan itu terbongkar susulan Op Khas Aman 1/2024 yang dijalankan ke atas sembilan pusat hiburan dan KTV di sini, bermula 11.30 malam tadi

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, polis menyerbu sembilan premis pusat hiburan dan KTV disyaki melakukan kesalahan di Daerah Klang Utara dan Klang Selatan.

Menurutnya, 299 orang diperiksa dengan 43 orang ditahan atas pelbagai kesalahan.

"Mereka yang ditahan itu terdiri daripada empat pengurus lelaki dan lapan penjaga kaunter membabitkan tujuh lelaki dan seorang wanita serta seorang kapten (lelaki).

"Selain itu, 22 GRO ditahan membabitkan warga tempatan, Vietnam, Indonesia, Thailand, kemboja dan Laos. Lapan pekerja warga asing yang ditahan pula dari Bangladesh, Thailand dan Indonesia," katanya.

Mohd Shuhaily berkata, wang tunai RM3,625 arak, resit jualan, dan peralatan alat hiburan turut dirampas.

"Daripada sembilan sasaran ini, lapan premis berjaya diserbu manakala satu premis dibuat pemeriksaan dan tidak terkesan melakukan kesalahan.

"Pemeriksaan tatu dan pemeriksaan orang yang dikehendaki dilakukan terhadap pelanggan pusat hiburan, bouncer dan pekerja namun tiada terkesan apa-apa kesalahan di bawah Akta Pertubuhan dan tiada rekod orang yang dikehendaki," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1952, Seksyen 55B (1) Akta Imigresen, Seksyen 6 Akta Imigresen, Seksyen 39b Peraturan Imigresen, Seksyen 6(1) EHDTTH 1995 dan Sek 3(1) UUKPPTPP.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2024 @ 11:31 AM