GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis mengesan waris lelaki yang ditemukan mati di tebing sungai berhampiran tempat pelupusan sampah di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Batu Caves, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat lelaki tanpa identiti itu pada 1.56 tengah hari.

"Mayat lelaki dipercayai berusia 50-an itu dipercayai hanyut sebelum tersangkut di tebing sungai berkenaan.

"Siasatan awal dilakukan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada mangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Eng Lai berkata, lelaki terbabit memakai t-shirt kolar bulat berwarna merah dalam keadaan lusuh, seluar jeans dan tidak memakai kasut.

Menurutnya, terdapat tatu pada bahu kanan lelaki itu, manakala suntikan pelalian Bacillus Calmette–Guerin (BCG) pada bahu kirinya pula tidak dapat dikesan kerana keadaan mayat yang reput.

Katanya, mayat dihantar ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

"Sehingga kini, tiada ahli keluarga atau mana-mana pihak yang tampil untuk menuntut mayat terbabit. Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482206 atau Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Kamilan Selamat di talian 03-62572222 atau 018-3913856.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 November 2021 @ 6:16 PM