Gambar daripada rakaman video memaparkan penghantar makanan sebelum dilanggar kereta di Jalan SS2/24, Petaling Jaya, semalam. Foto Ihsan Chester Chong
Gambar daripada rakaman video memaparkan penghantar makanan sebelum dilanggar kereta di Jalan SS2/24, Petaling Jaya, semalam. Foto Ihsan Chester Chong
Nurul Hidayah Bahaudin

Petaling Jaya: Penghantar makanan cedera di pinggang dan tangan selepas motosikal ditunggangnya yang melanggar lampu isyarat merah dilanggar sebuah kereta di Jalan SS2/24 di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung berkenaan kejadian itu pada 4.30 petang.

"Kemalangan itu membabitkan dua kenderaan iaitu sebuah kereta Proton Wira dan sebuah motosikal Yamaha LC135.

"Penunggang motosikal adalah lelaki tempatan berusia 51 tahun yang keluar dari simpang Jalan SS2/55 sebelum dilanggar oleh Proton Wira berkenaan.

"Ketika kejadian, lampu isyarat dari arah SS2/54 iaitu laluan kereta berkenaan adalah hijau," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan meminta saksi kejadian supaya tampil membantu siasatan.

"Orang ramai yang melihat atau berada di lokasi kejadian diminta tampil ke balai berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat trafik, Sarjan Jahir Hussin di talian 017-3722125 untuk tindakan lanjut," katanya.

Terdahulu, satu video berdurasi 12 saat memaparkan penghantar makanan itu melanggar lampu isyarat merah sebelum dilanggar sebuah kereta tular di media sosial hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 11:40 PM