KEADAAN motosikal mangsa selepas dirempuh kereta dalam kejadian di Kampung Parit Surau, Jalan Parit Botak, Batu Pahat, malam tadi. FOTO ihsan polis.
KEADAAN motosikal mangsa selepas dirempuh kereta dalam kejadian di Kampung Parit Surau, Jalan Parit Botak, Batu Pahat, malam tadi. FOTO ihsan polis.
Adnan Ibrahim


TIGA penunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal dan dua kereta di Kampung Parit Surau, Jalan Parit Botak, Batu Pahat, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, kejadian pada 9 malam itu menyebabkan Muhammad Abdul Malik Maamun, 19, yang menunggang Yamaha LC135 maut di tempat kejadian.

Beliau berkata, dua lagi mangsa maut adalah Julizam Tarseh, 35, yang menunggang Honda EX5 manakala seorang lagi mangsa wanita, Alwani Natira Abd Wahab, 20, yang menunggang Yamaha LC135.

“Difahamkan mangsa pertama maut dilanggar kereta Proton Saga FLX dipandu seorang wanita berusia 40 tahun yang dalam perjalanan daripada arah Ayer Hitam ke Batu Pahat.

“Manakala dua lagi mangsa dipercayai dilanggar sebuah kenderaan belum dikenal pasti kerana pemandunya melarikan diri sejurus kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, semua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di badan sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk bedah siasat.

Katanya, pemandu Proton Saga yang melanggar mangsa pertama itu tidak cedera.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan usaha mengesan pemandu kereta yang melarikan diri sedang giat dilakukan.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian ini diharapkan dapat tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 2:19 PM