Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Polis sudah mengenal pasti kenderaan yang dipandu melawan arus hingga tindakannya itu tular di media sosial sejak semalam.

Kejadian itu dipercayai berlaku pada 3 petang di Jalan Alam Perdana, Puncak Alam dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya mengesan satu video berdurasi 34 saat pada 12.30 tengah hari ini.

Menurutnya, video terbabit memaparkan sebuah kereta Perodua Axia yang dipandu melawan arus.

Gambar daripada rakaman video sebuah Perodua Axia dipandu melawan arus di Jalan Alam Perdana, Puncak Alam semalam. Foto Ihsan PDRM
Gambar daripada rakaman video sebuah Perodua Axia dipandu melawan arus di Jalan Alam Perdana, Puncak Alam semalam. Foto Ihsan PDRM

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya meminta pemandu kereta itu tampil bagi membantu siasatan berhubung kes terbabit.

"Kita sudah rakam percakapan pemilik video itu.

"Untuk itu, pemandu kereta Perodua Axia diarahkan tampil untuk membantu siasatan," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Ramli berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 7:32 PM