Norzamira Che Noh

Klang: Polis sedang mengesan pemandu kenderaan yang memandu secara melawan arus dari Persiaran Sultan Ibrahim berdekatan Jambatan Kota, Klang seperti yang tular di Facebook semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, video berdurasi 47 saat yang direkodkan seorang individu menunjukkan kereta warna perak itu dipercayai jenis Nissan Almera atau Toyota Vios dipandu secara melawan dan membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

"Individu berkenaan dipercayai memandu secara melawan arus di Persiaran Sultan Ibrahim berdekatan Jambatan Kota dari simpang Shah Alam menghala ke Klang.

"Pemandu itu sedang dikesan bagi melengkapkan siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Abdul 'Azim Mazlan di 013-4146144.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Terdahulu, video yang tular itu menunjukkan pemandu berkenaan memandu di laluan tiga lorong dan dipercayai berlaku awal pagi semalam.

Menerusi video berkenaan, pemandu itu dilihat memandu laju dan cuba mengelak beberapa kenderaan yang melalui jalan itu.

Rakaman video tular sebuah kereta dipandu melawan arus dari Persiaran Sultan Ibrahim berdekatan Jambatan Kota, Klang. Foto Ihsan Pembaca
Rakaman video tular sebuah kereta dipandu melawan arus dari Persiaran Sultan Ibrahim berdekatan Jambatan Kota, Klang. Foto Ihsan Pembaca

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 10:16 AM