Omar Ahmad


Johor Bahru: Seorang anggota polis trafik ditahan jam 12.30 pagi tadi kerana memandu secara melawan arus selain disyaki berada di bawah pengaruh alkohol.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya menerima rakaman video berkaitan Perodua Axia yang dipandu secara merbahaya dan melawan arus di Jalan Lingkaran Dalam di sini.

Menurut beliau, anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor Bahru Selatan (JBS) kemudiannya mengesan dan menahan lelaki berusia 25 tahun itu.

"Lelaki itu yang juga anggota trafik JBS ditahan di sebuah stesen minyak di Jalan Lingkaran Dalam.

"Siasatan mendapati, ketika kejadian, anggota terbabit tidak bertugas selain memandu kenderaan persendirian.

"Kami tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan paling tegas terhadap mana-mana pihak termasuk anggota serta pegawai yang melanggar undang-undang," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut Ayob Khan, pihaknya juga akan memastikan siasatan dijalankan dengan telus dan suspek akan dituduh di mahkamah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 45A APJ 1987," katanya.

KENDERAAN Produa Axia yang dipandu anggota polis trafik secara melawan arus di Jalan Lingkaran Dalam, malam tadi. FOTO ihsan POLIS
KENDERAAN Produa Axia yang dipandu anggota polis trafik secara melawan arus di Jalan Lingkaran Dalam, malam tadi. FOTO ihsan POLIS

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi satu minit 36 saat di media sosial membabitkan Perodua Axia perak dipandu secara melawan arus.

Kereta itu dipandu di lorong laju dan sederhana dengan lampu isyarat kecemasan dibuka.

Manalah kereta itu turut berhenti di tengah jalan sebelum membuat pusingan U di jalan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2020 @ 12:45 PM