Azmin Ali pada Sidang Media Safe@Work di Menara MITI. FOTO ASWADI ALIAS
Azmin Ali pada Sidang Media Safe@Work di Menara MITI. FOTO ASWADI ALIAS
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Inisiatif Safe@Work yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dilihat membolehkan pekerja kontak rapat Covid-19 untuk terus bekerja dalam situasi protokol baharu yang dinamakan Safe Work Bubble.

Menteri Kanan merangkap Menteri Miti, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, dalam memastikan sektor industri dan perusahaan komersil terus kekal berdaya saing dan mampan untuk menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara, perlindungan keselamatan dan kesihatan pekerja menjadi keutamaan.

Katanya, setakat 16 Mac 2021, sektor perkilangan menyumbang sebanyak 58.1 peratus atau 194 kluster daripada kes Covid-19 di negara ini.

"Justeru, Miti telah mengambil langkah proaktif dan responsif dengan memperkenalkan inisiatif yang komprehensif dalam mengimbangi kelangsungan operasi sektor perkilangan dengan pengawalan penularan pandemik di kalangan pekerja yang dinamakan Safe@Work.

"Menerusi Safe Work Bubble kami yakin penularan Covid-19 di tempat kerja dapat dikurangkan dengan efektif.

"Usaha ini amat penting demi menyumbang kepada kelangsungan aktiviti ekonomi," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, terdapat beberapa aspek utama yang diberikan penekanan di bawah Safe Work Bubble iaitu pekerja kontak rapat di kawasan kilang dan premis penginapan pekerja serta penubuhan Pasukan Persediaan dan Tindakbalas Kecemasan Covid-19 (PERT) oleh syarikat bagi penyediaan dan pelaksanaan tatacara mengurus kes kecemasan.

Azmin berkata, menerusi Safe Work Bubble juga proses sanitasi berterusan akan dilakukan di premis perkilangan.

"Selain itu, kebenaran penggunaan kenderaan pekerja dengan kapasiti penuh, penyediaan dan pengurusan penginapan pekerja kondusif, pelaksanaan saringan bersasar untuk pekerja sektor perkilangan dan perkhidmatan yang berkaitan serta penyediaan saluran maklumat berkaitan tatacara kawalan pandemik daripada majikan kepada pekerja turut diberi penekanan.

"Malah, pekerja kontak rapat diasingkan daripada komuniti setempat dan pekerja lain sehingga kesemua pekerja kontak rapat disahkan selamat daripada Covid-19 berdasarkan keputusan ujian saringan," katanya.

Safe@Work adalah Prosedur Operasi Standard (SOP) yang boleh dilaksanakan syarikat di sektor perkilangan merangkumi

tanggungjawab majikan menyediakan penginapan pekerja yang selamat serta mematuhi piawaian di bawah Akta Standard Minimum Penginapan dan Perumahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Azmin berkata, Miti berharap dengan adanya Safe@Work ini, syarikat di sektor perkilangan dan perkhidmatan yang berkaitan akan mempertingkat tahap pematuhan SOP masing-masing bagi memastikan syarikat dapat terus beroperasi seperti biasa.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 5:16 PM