ISMAIL Sabri ketika hadir di bilik gerakan utama BN semalam. FOTO Asyraf Hamzah.
ISMAIL Sabri ketika hadir di bilik gerakan utama BN semalam. FOTO Asyraf Hamzah.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: "Terima kasih buat Keluarga Malaysia di Melaka kerana memilih Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan baharu.

"Insya-Allah kebajikan dan kemajuan ekonomi negeri Melaka pastinya akan menjadi agenda utama pentadbiran kerajaan baharu dibentuk nanti," kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Facebook hari ini.

Beliau yang juga Naib Presiden Umno turut melahirkan penghargaan dan mengucapkan tahniah kepada Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan, presiden-presiden parti komponen BN dan seluruh jentera parti yang menggembleng tenaga membantu memenangkan BN di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

"Penghargaan juga buat mantan Pengerusi BN YB Datuk Seri Mohd Najib Razak yang turut turun padang membantu kemenangan di Melaka.

"Inilah semangat Keluarga Malaysia yang mana kita semua menuju ke destinasi yang sama - membangunkan kembali Malaysia selepas mengharungi pandemik yang mencabar ini," katanya.

Keputusan rasmi PRN Melaka semalam menyaksikan BN menang dengan majoriti dua pertiga apabila memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang dipertandingkan.

Berita Berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 4:49 PM