MOHD Fareez.
MOHD Fareez.
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Mohd Fareez Omar, 33, yang terselamat dalam nahas pesawat Hawk 108, Selasa minggu lalu, dilaporkan semakin beransur pulih daripada kecederaan dialaminya.

Ia dimaklumkan bapanya, Omar Deros, 62, yang berkongsi perkembangan semasa berhubung keadaan kesihatan anaknya itu melalui aplikasi WhatsApp di sini, hari ini.

Menurut Omar yang juga mejar bersara memberitahu, anak lelakinya itu masih menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

"Alhamdulillah, anak saya sudah beransur pulih selepas menjalani pembedahan tulang belakang tempoh hari.

"Buat masa ini dia hanya terbaring sahaja, namun bersyukur dia sudah boleh makan dan minum.

"Saya berharap kesihatannya akan segera pulih seperti sedia kala" katanya.

Bahagian Perhubungan Awam TUDM sebelum ini memaklumkan Mohd Fareez kini berada dalam pemantauan pegawai perubatan dan masih memerlukan rawatan susulan. .

Pada kejadian 10.07 malam Selasa minggu lalu, sebuah pesawat Hawk milik TUDM dilaporkan terhempas di Pangkalan Udara Butterworth ketika dua juruterbangnya mengadakan sesi latihan penerbangan malam.

Insiden menyebabkan Mohd Fareez mengalami kecederaan manakala rakannya, Kapten Mohamad Affendi Bustamy, 31 maut di lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 9:44 AM