Mejar Mohd Fareez Omar,33 yang terselamat dalam nahas pesawat Hawk 108 dilaporkan selesai menjalani pembedahan.
Mejar Mohd Fareez Omar,33 yang terselamat dalam nahas pesawat Hawk 108 dilaporkan selesai menjalani pembedahan.
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Keluarga kepada Mejar Mohd Fareez Omar yang terselamat dalam nahas pesawat Hawk 108 kelmarin, menzahirkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesejahteraan juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu.

"Bagi pihak keluarga, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mengambil berat dan mendoakan Mohd Fareez," kata bapa juruterbang itu, Omar Deros, 62.

Omar yang juga pesara tentera berpangkat mejar berkata, dia sempat menemui anaknya semalam sebelum Mohd Fareez, 33, menjalani pembedahan selama empat jam di Hospital Seberang Jaya.

"Alhamdulillah, anak saya sudah boleh bercakap sedikit dan dia boleh sebut abah dan mak ketika kami berjumpa dengannya semalam tetapi keadaannya masih lemah.

"Dia kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pemerhatian dan pemantauan rapi doktor," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam kejadian 10.07 malam kelmarin, pesawat kendalian Mohd Fareez dan rakan, Kapten Mohamad Affendi Bustamy, 31, dilapor terhempas di Pangkalan Udara Butterworth ketika mereka menjalani latihan penerbangan malam.

Mohd Fareez terselamat manakala, Mohamad Affendi meninggal dunia dan jenazahnya selamat disemadikan di Muadzam, Pahang semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 6:05 PM