Laporan portal Harian Metro sebelum ini.
Laporan portal Harian Metro sebelum ini.
Amir Mamat

Masjid Tanah: Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali menjelaskan tindakannya mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam lewat malam tadi disebabkan jadual tugasnya yang padat.

Menurutnya, ia bermula dengan beberapa pertemuan dan mesyuarat pada hari ini, diikuti Mesyuarat Majlis Raja-Raja esok dan Mesyuarat Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri pada Selasa.

"Pada Rabu pula, saya masih di Mesyuarat Majlis Raja-Raja sebelum mesyuarat berkaitan Belanjawan Negeri Melaka 2022.

"Jadi, tidak ada salahnya apa yang dilakukan malam tadi (angkat sumpah) supaya saya boleh jalankan tugas lebih awal lagi," katanya ketika sidang media bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Kampung Pulau di sini, malam ini.

Lewat malam tadi, Sulaiman mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka pada 12.58 tengah malam.

Sementara itu, Sulaiman berkata, anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang bakal dilantik selewat-lewatnya hujung minggu depan akan menggabungkan muka lama dan baharu.

Menurutnya, kombinasi itu membabitkan pelantikan dalam kalangan Adun yang mempunyai latar belakang pendidikan serta pengalaman yang bersesuaian dan memenuhi keperluan semasa.

"Kita akan lihat kebolehan dan pendidikan mereka untuk kita agihkan portfolio mengikut kesesuaian.

"Mungkin minggu depan kita akan umumkan pelantikannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 11:25 PM