Berkuat kuasa Jun tahun depan, kerajaan akan memastikan tiada penjualan telur penyu di pasar awam dan restoran di negeri ini.  FOTO GHAZALI KORI
Berkuat kuasa Jun tahun depan, kerajaan akan memastikan tiada penjualan telur penyu di pasar awam dan restoran di negeri ini. FOTO GHAZALI KORI
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Berkuat kuasa Jun tahun depan, kerajaan negeri akan memastikan tiada penjualan telur penyu di pasar awam dan restoran di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri Dr Azman Ibrahim berkata, larangan penjualan telur penyu antara kaedah terpaksa dilakukan kerajaan negeri bagi melindungi dan mengekalkan kepupusan semua spesis penyu termasuk tuntung laut.

Kata beliau, individu termasuk peniaga yang didapati bersalah kerana menjual telur penyu boleh didenda RM50,000 hingga RM250,000 berbanding hanya RM3,000 sebelum enakmen itu dipinda.

"Pindaan enakmen itu diluluskan selepas dibentangkan pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (Dun) Ke-14 hari ini.

"Larangan penjualan telur penyu akan berkuat kuasa Jun tahun depan," katanya kepada media selepas membentangkan rang undang-undang pada persidangan Dun.

Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Jabi berkata, pindaan Enakmen Penyu 1951 dilakukan bagi membolehkan pengharaman penjualan semua spesis penyu dapat dikuatkuasakan.

Kata beliau, pengharaman penjualan telur penyu pelbagai spesis termasuk penyu belimbing tidak mendatangkan kesan kepada peniaga berikutan aktiviti itu dianggap sebagai pendapatan sampingan kepada peniaga.

"Selain pengharaman penjualan telur penyu, enakmen ini turut mewajibkan semua bot pelancong memasang pelindung kipas bagi mengelakkan kematian penyu.

"Semua bot yang membawa pelancong melihat penyu termasuk di Pulau Redang perlu ada pelindung kipas, berikutan terdapat kes penyu mati terkena kipas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 5:56 PM