FOTO hiasan
FOTO hiasan
Hanneeyzah Bariah Baharin


KERAJAAN Terengganu sedang mengkaji untuk mengharamkan penjualan telur penyu di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ketika ini pengharaman penjualan telur penyu di negeri ini hanya membabitkan spesies penyu belimbing manakala telur penyu agar banyak dijual secara terbuka terutama di pasar awam.

Beliau berkata, ketika ini hanya Terengganu masih membenarkan penjualan telur penyu, sekali gus memberi imej negatif terhadap negeri ini apabila banyak persepsi menyifatkan kerajaan negeri tidak peka dalam membanteras penjualan telur penyu.

Justeru katanya, kerajaan negeri sedang mengkaji meminda Enakmen Pemuliharaan Penyu Terengganu 1951 (pindaan 1987) supaya telur penyu daripada semua spesies penyu diharamkan penjualannya di negeri ini.

“Sebenarnya ramai tidak faham dan menganggap kerajaan negeri tidak peka dengan lambakan penjualan telur penyu di negeri ini sedangkan mengikut enakmen berkenaan, hanya telur penyu belimbing diharamkan penjualannya.

“Ini kerana asas kepada pindaan pada 1986 yang mengharamkan penjualan telur penyu belimbing dan membenarkan penjualan telur penyu spesies lain adalah kerana pada waktu itu, jumlah pendaratan penyu masih tinggi di Terengganu.

“Namun, melihat kepada persepsi negatif banyak pihak terhadap penjualan telur penyu di negeri ini, kita sedang mengkaji untuk meminda enakmen berkenaan, sekali gus mengharamkan penjualan telur penyu secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kuala Terengganu, hari ini.

Terdahulu di dalam dewan, Dr Azman menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili mengenai penjualan telur penyu secara terbuka di negeri ini.

Dr Azman berkata, hukuman denda dikenakan terhadap mereka yang menjual telur penyu juga sudah tidak relevan, sebaliknya hukuman lebih berat perlu dikenakan dalam usaha membanteras aktiviti penjualan telur penyu.

“Kita juga tahu mutakhir ini jumlah pendaratan penyu semakin merosot di negeri ini, malah banyak juga penyu yang mati.

Justeru, langkah mengharamkan penjualan telur penyu nanti diharap dapat membantu usaha memulihara penyu,” katanya.

Beliau berkata, satu bengkel khas mengenai isu itu sudah diadakan sebelum ini dan pihaknya kini sedang merangka cadangan pindaan enakmen berkenaan untuk diangkat secepat mungkin ke peringkat lebih tinggi bagi tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 November 2019 @ 2:44 PM